Tarrant ‘pengganas yang layak mati’ - Utusan Malaysia

Tarrant ‘pengganas yang layak mati’

NORAINI Milne (kanan) ditemani keluarga tampil menceritakan perasaan kehilangan anak lelakinya, Sayyad Milne dalam sesi keterangan prosiding jatuh hukum di mahkamah di Christchurch, New Zealand. – AP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHRISTCHURCH: Dua individu yang terselamat dalam serangan berdarah pengganas kulit putih dekat sini tahun lalu, enggan membacakan keterangan yang telah disiapkan awal dalam sesi keterangan prosiding jatuh hukum di mahkamah semalam.

Sebaliknya Mirwais Waziri; dan Zuhair Darwish yang kehilangan abangnya, melahirkan kemarahan terhadap Brenton Tarrant sambil memanggil pengganas kulit putih itu sebagai ‘pengganas yang layak mati’.

Mahkamah menyambung ke­terangan prosiding jatuh hukum hari kedua semalam terhadap Tarrant yang didakwa melakukan serangan di dua masjid di sini pada 15 Mac tahun lalu, menyebabkan 51 terkorban.

Biarpun diasak kemarahan dan ‘kisah sedih’ yang ditanggung mangsa serta mereka yang kehilangan insan tersayang, Tarrant tetap tampil dengan ‘muka yang tidak mempunyai pe­rasaan’.

“Saya tidak melihat penyesalan dan rasa malu di mata pengganas ini. Untuk itu saya memutuskan untuk tidak membaca kenyataan yang telah di­siapkan awal bagi menunjukkan kepadanya kesakitan yang saya alami,” kata Mirwais.

Tarrant dilihat tidak memberikan sebarang reaksi ketika Mirwais memberitahunya: “Hari ini kamu seorang pengganas dan kami umat Islam bukan pengganas.”

Zuhair pula berkata: “Kamu bertindak seperti pengecut dan kamu seorang pengecut. Kamu hidup seperti tikus dan sela­yaknya. Kamu akan mati keseorangan, seperti virus yang dielakkan semua orang.”

Beliau menyambung: “Huku­man yang setimpal adalah hukuman mati. Saya tahu New Zealand tidak memperuntukkan hukuman mati tetapi sayangnya kamu bukan manusia. Dia tidak layak dihukum seperti manusia.”

Begitu juga Ambreen Naeem yang menggunakan peluang bercakap di mahkamah sambil berkata: “Sejak suami dan anak saya meninggal, saya tidak dapat tidur dengan baik. Ini adalah ‘kerosakan’ yang tidak dapat dibaiki lagi.”

Sambungnya: “Sebab itu ka­mu perlu dihukum selama-la­manya.”

Suaminya, Naeem dianggap hero selepas bergelut merampas senjata dipegang Tarrant tetapi disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius.

Anak lelakinya, Talha turut meninggal dunia dalam keja­dian itu.

Kamar mahkamah diselubu­ngi suasana sedih ketika Noraini Milne menceritakan bagaimana perasaan kehilangan anak lela­kinya, Sayyad Milne yang ber­usia 14 tahun.

 

“Saya, ibu kepada Sayyad Milne. Bagi saya, kamu (Tarrant) sudah mati. Apapun hukuman yang akan kamu terima di dunia ini, tidak akan pernah cukup,” katanya.

Mohammad Siddiqui pula terkena tembakan di tangannya ketika ‘syaitan’ itu menyerang Masjid Al Noor.

“Ya saya memanggilnya ‘syai­tan’ kerana kamu mema­suki rumah Allah dengan niat jahat untuk membunuh orang yang tidak bersalah. Kamu membunuh impian rakan-rakan dan ahli keluargaku,” katanya.

Tarrant mengaku bersalah terhadap 51 pertuduhan membunuh, 40 percubaan membunuh dan satu tuduhan keganasan dalam serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood dekat sini.

Lebih 60 individu memberikan kenyataan impak mang­sa sebelum Hakim Cameron Mander dijangka menjatuhkan hukuman terhadap Tarrant Khamis ini.

Tarrant dijangka menjadi individu pertama dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Sementara itu, portal NZ He­rald melaporkan, beberapa ahli keluarga mangsa dan individu terselamat menganggap Tarrant tidak berhati perut.

Kyron Gosse, anak buah kepada Linda Amstrong yang ditembak mati di Masjid Linwood pula berpandangan kehidupan Tarrant penuh dengan kebencian.

Dia juga memohon hakim memberi jaminan agar rakyat New Zealand akan dilindungi daripada Tarrant malah diberikan hukuman berat sebagai pengajaran untuk tidak me­nyerang mana-mana individu lagi. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya