Sisa hidup Tarrant di ‘neraka Paremoremo’ - Utusan Malaysia

Sisa hidup Tarrant di ‘neraka Paremoremo’

BRENTON Tarrant dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHRISTCHURH: Seorang bekas banduan yang pernah melalui ‘kehidupan’ di Penjara Paremoremo, Auckland mendedahkan Brenton Tarrant ‘tidak disukai dalam kalangan ban­duan di penjara itu’.

NZ Herald melaporkan, bekas banduan tersebut, Arthur Taylor berkata, malah banduan lain juga kesal pengganas kulit putih yang mengaku bersalah membunuh 51 orang di dua masjid dekat sini pada Mac tahun lalu itu, akan ditempatkan semula di situ.

Hal demikian disebabkan jenayah berat yang telah dilakukan lelaki warga Australia itu.

Sebelum ini sementara me­nunggu perbicaraan, Tarrant ditahan di Paremoremo.

Kelmarin, dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan berkenaan.

Tarrant akan menghabiskan hari-harinya di penjara itu, penjara ‘paling keras’ dan menempatkan beberapa penjenayah ‘berprofil tinggi’.

Dia juga akan diasingkan daripada tahanan lain dan tidak diberikan akses internet, media, buku, pelawat serta sebarang hubungan dengan dunia luar.

Sumber penjara berkata, dia tidak akan dipindahkan ke penjara biasa bagi mengelak penjenayah itu menjadi ‘mangsa’ banduan lain.

Menurut Taylor, Tarrant akan ditahan di Unit Sokongan Intensif yang kebiasaannya me­nempatkan banduan dengan masalah kesihatan mental.

“Sepanjang hidupnya, dia akan menyendiri. Dia tidak akan bercampur dengan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, New Zealand ‘terpaksa’ menanggung kos sebanyak NZ$4,930 (RM13,748) sehari sepanjang Tarrant ‘disumbat’ ke dalam Penjara Paremoremo.

Untuk dua tahun pertama hukumannya akan menelan kos NZ$3.59 juta (RM10 juta).

PENJARA Paremoremo di Auckland menempatkan penjenayah ‘berprofil tinggi’. – AGENSI

 

BAKAL ‘DIHALAU’ KE AUSTRALIA?

Dalam pada itu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison melahirkan sikap terbuka mengenai usul membawa balik Tarrant ke negara asal.

Daily Mail melaporkan, Menteri Luar New Zealand, Winston Peters mengusulkan supaya Tarrant yang berasal dari New South Wales menjalani hukumannya di Australia.

Sebagai tindak balas, Morrison berkata, pihaknya bersedia mengadakan rundingan berhubung usul berkenaan.

“Saya tahu rakyat New Zealand dan Australia mahu melihat pengganas ini dipenjara tanpa berpeluang lagi ‘melihat siang dan malam’. Saya juga bersetuju. Tidak kira dia akan menjalani hukuman

di New Zealand atau Australia, kami bersedia untuk berunding,” katanya.

Selain itu, terdapat beberapa perubahan undang-undang yang perlu disusun semula antara New Zealand dan Australia untuk melakukan pemindahan penjenayah.

Kedua-dua negara tidak mempunyai persetujuan berkaitan pemindahan penjenayah.

Peguam Negara Australia, Christian Porter berkata, Australia hanya boleh memindahkan penjenayah dari mana-mana negara yang diiktiraf sebagai ‘negara pindahan’ di bawah Akta Pemindahan Banduan Asing­ (ITP).

“New Zealand bukan ‘negara pindahan’ di bawah akta tersebut kerana tidak pernah mempunyai persetujuan bersama Australia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya