ANALISIS
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
[email protected]
Tujuh belas agustus tahun empat lima
Itulah hari kemerdekaan kita
Hari merdeka nusa dan bangsa
Hari lahirnya bangsa Indonesia
Merdeka
Sekali merdeka tetap merdeka
Selama hayat masih dikandung badan
Kita tetap setia tetap setia
Mempertahankan Indonesia
Kita tetap setia tetap setia
Membela negara kita
Demikian lirik lagu Hari Merdeka. Selamat ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-75. Bak bait-bait lirik tersebut, sekali merdeka tetap merdeka.
Namun kemerdekaan 17 Ogos tahun ini, bukan hanya Indonesia malah seluruh dunia menyambut perayaan penting di sebalik ‘mengganasnya’ penularan Covid-19.
Sehingga kini jangkitan virus itu melepasi 21 juta kes seluruh dunia dan Indonesia pula semakin hari semakin mencatatkan angka ribuan kes sehari.
Sejarah perjalanan Indonesia mencapai kemerdekaan cukup panjang dan penuh pelbagai kisah.
Terlepas daripada belenggu penjajah Barat dan tak kurang dari Jepun, semangat kemerdekaan 1945 Indonesia selari dengan jati diri bangsanya yang berpaksi kepada Bhineka Tunggal Ika. Frasa itu membawa maksud ‘berbeza-beza tetap satu jua’. Itu menjadi semboyan bangsa Indonesia dan tertulis pada lambang negara Garuda Pancasila.
Bagaimanapun di sebalik masyarakat Indonesia yang berbeza-beza etniknya, dari Sabang, Aceh sehingga ke Merauke, Papua, apakah benar-benar mereka merasakan ‘tetap satu jua’ itu? Pemimpinnya juga apakah merasakan hal yang sama?
Jika masih belum, apakah bisa sekali merdeka, tetap merdeka itu dapat dihayati bersama? Memetik kenyataan Naib Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), Jazilul Fawaid yang mendorong (menggesa) pemerintah ‘memperhatikan’ kehidupan masyarakat di segenap ruang wilayah.
Menurutnya, potensi-potensi yang ada di masyarakat terutama di desa, daerah kepulauan dan pesisir, perlu diambil perhatian serius dan dikembangkan.
Tegasnya cuma satu, apabila daerah dan wilayah itu ‘disentuh’ dan diperhatikan, bangsa Indonesia bisa seperti yang digambarkan dan dicita-citakan oleh para pendiri bangsa, iaitu negeri yang adil dan makmur.
Isu-isu ‘tetap satu jua’ juga perlu ditangani sebaiknya, bukan hanya melibatkan ‘periuk nasi’ rakyat tetapi isu wilayah yang merasakan mereka tertinggal daripada ‘pandangan’ pemerintah.
Wilayah Papua antara contoh, betapa pemerintah perlu sentiasa ‘campur tangan’ dalam membangunkan bangsanya. Jika tidak ‘dipegang’ sebaiknya, Papua mungkin terlepas daripada tangan Indonesia, sama seperti berlaku terhadap Timor Timur (Timor Leste).
Meniti usia 75 tahun, Indonesia juga perlu semakin matang dalam menangani isu-isu tetangga, khususnya Malaysia yang dianggap serumpun ‘adik abang’. Usahlah hal-hal kecil, yang boleh diselesaikan secara diplomatik, diperbesarkan, akhirnya menjadi ‘perang psikologi’ yang merugikan.
Terjemahkanlah nilai-nilai serumpun itu dengan sebaiknya.
Bak kata bekas Duta Besar Indonesia di Malaysia, Rusdi Kirana: “Suka tidak suka, bahasa kita hampir sama. Suka tidak suka, kita ini serumpun. Suka tidak suka, Malaysia memerlukan Indonesia dan Indonesia memerlukan Malaysia.”
Dirgahayu Indonesia. Merdeka.