NEW YORK: Lebih 5,800 rakyat Amerika Syarikat (AS) menggugurkan kerakyatan mereka dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya 2,072 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut Bambridge Accountants, firma pakar cukai ekspatriat berpangkalan di New York, jumlah itu diperoleh berdasarkan data awam dikeluarkan kerajaan setiap tiga bulan, menyenaraikan nama rakyat negara ini yang bertindak sedemikian.
Jurucakap Bambridge Accountants, Alistair Bambridge berkata, mereka terdiri daripada yang sudah meninggalkan negara ini dan memutuskan untuk terus menetap di luar negara.
“Apa yang kami lihat ketika ini adalah rakyat AS sudah ‘berputus asa’ dengan Presiden Donald Trump, bagaimana beliau menguruskan pandemik Covid-19 dan isu politik di negara ini,” katanya seperti dilaporkan CNN.
Selain itu, firma tersebut memaklumkan antara punca lain adalah faktor cukai.
Bambridge berkata, penduduk AS yang tinggal di luar negara masih perlu membayar cukai setiap tahun, melaporkan akaun bank asing yang dimiliki selain pelaburan dan pencen.
Selain itu, rakyat AS yang ingin menggugurkan kerakyatan perlu membayar AS$2,350 (RM9,864) dan pergi ke kedutaan AS jika menetap di luar negara.
Bambridge turut meramalkan trend menggugurkan kerakyatan dalam kalangan penduduk AS akan meningkat.
Katanya, banyak penduduk menunggu pilihan raya presiden November ini untuk melihat apa yang akan berlaku.
“Jika Trump dipilih sekali lagi kami percaya lebih ramai rakyat ‘membuang’ kerakyatan,” katanya.