NICOSIA: Tokoh politik dan mereka yang berdepan tuduhan pengubahan wang haram, penipuan serta rasuah adalah antara berpuluh-puluh individu dari lebih 70 negara didakwa membeli ‘pasport emas’ Cyprus untuk menyelamatkan diri.
Perkara itu didedahkan Unit Siasatan al-Jazeera yang melihat sejumlah besar dokumen rasmi The Cyprus Papers.
Dokumen itu ‘menceritakan’ lebih 1,400 permohonan pasport yang diluluskan kerajaan antara 2017 dan 2019 dan menimbulkan persoalan serius mengenai Program Pelaburan Cyprus.
Untuk beberapa hari ini, al-Jazeera akan mendedahkan identiti puluhan mereka yang memperoleh kewarganegaraan Cyprus, yang menurut peraturan negara ini dalam banyak kes, tidak seharusnya mendapat pasport tersebut.
Untuk memohon pasport Cyprus, pemohon mesti melabur sekurang-kurangnya 2.15 juta euro (RM10.6 juta) dalam ekonomi Cyprus, biasanya dengan membeli hartanah dan mempunyai rekod jenayah yang bersih.
Namun pemohon perlu memberikan bukti kelayakan mereka sendiri, dan walaupun Cyprus mengaku memeriksa latar belakang pemohon, dokumen yang diperoleh al-Jazeera membuktikan itu tidak berlaku.
Dimulakan pada 2013, Program Pelaburan Cyprus mendapat kritikan Kesatuan Eropah (EU) yang meminta agar ditamatkan.
Sejak 2013, ketika program pasport dimulakan, Cyprus menghasilkan lebih 7 bilion euro (RM34.5 bilion).
Antara 2017 dan 2019, negara dengan jumlah individu yang paling banyak memohon adalah Rusia, China dan Ukraine.
Antara permohonan yang diluluskan dan dilihat al-Jazeera adalah hartawan Ukraine, Mykola Zlochevsky, pemilik syarikat tenaga Burisma gergasi.
Ketika Zlochevsky membeli pasport Cyprus pada 2017, dia sudah disiasat kerana melakukan rasuah di negara asalnya.
Permohonan serupa datang dari warga Rusia, Nikolay Gornovskiy, bekas pemilik syarikat gergasi tenaga Gazprom dan dikehendaki Rusia kerana penyalahgunaan kuasa.