BAITULMUQADDIS: Ribuan penduduk Yahudi berhimpun dan berarak di luar kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika kemarahan rakyat semakin memuncak berhubung skandal rasuah dan pentadbirannya menangani krisis Covid-19.
Reuters melaporkan, penunjuk perasaan melaungkan slogan serta membawa sepanduk bertulis: “Masa kamu sudah berakhir”, selain mengibarkan bendera Israel dan menggesa Perdana Menteri itu meletak jawatan.
Netanyahu dilihat gagal menguruskan krisis Covid-19 dengan berkesan menyebabkan ekonomi Israel merudum dan menjejaskan banyak pihak.
Banyak tunjuk perasaan dilaporkan berlaku dalam tempoh beberapa minggu sebelum ini sebagai bantahan berterusan terhadap tampuk pentadbiran Netanyahu.
Sehubungan itu, Netanyahu menuduh tunjuk perasaan yang dilakukan untuk menentangnya sebagai ‘mengganggu sistem demokrasi’, ditambah dengan campur tangan media Israel yang didakwa menggalakkan situasi tegang.
Parti pimpinan beliau, Likud menggelar tunjuk perasaan tersebut sebagai ‘rusuhan sayap kiri’ dan menuduh media Channel 12 sebagai ‘sanggup membuat apa sahaja untuk menyokong protes tersebut’.
“Netanyahu kini bertungkus-lumus mengembalikan semula ekonomi kepada normal dan menyalurkan dana serta geran kepada penduduk Israel,” jelas parti tersebut menerusi satu kenyataan di Twitter.
Demonstrasi turut berlaku di lebuh raya di utara Tel Aviv dengan penunjuk perasaan mengibarkan bendera hitam dan melaungkan slogan mendesak Netanyahu meletak jawatan.
Seorang penunjuk perasaan, Yael berkata, dia kehilangan kerja akibat Covid-19 dan kerajaan bertindak sangat lambat untuk menghulurkan bantuan.
“Anda fikir krisis seperti ini (Covid-19) akan mendesak Netanyahu untuk bertindak segera? Sudah pasti jawapannya tidak. Sudah tiba masanya beliau berundur,” katanya.
Israel pada Mei lalu menarik semula perintah berkurung yang dilaksanakan untuk menangani Covid-19, namun gelombang kedua berlaku menyebabkan sokongan terhadap Perdana Menteri itu semakin merudum.
Setakat ini, kadar pengangguran di Israel direkodkan meningkat sebanyak 21.5 peratus dan pembangunan ekonomi dijangka menyusut enam peratus dalam tahun ini.