Kia kaha New Zealand - Utusan Malaysia

Kia kaha New Zealand

ORANG ramai berhimpun di luar Mahkamah Tinggi Christchurch meraikan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Brenton Tarrant. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHRISTCHURCH: Penduduk Islam di New Zealand menyambut baik hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan terhadap Brenton Tarrant.

Mereka juga meluahkan rasa kesyukuran dan gembira dengan tindakan tersebut sambil melaungkan ‘kia kaha’ dalam bahasa Maori yang bermaksud tetap tabah sebagai tanda terima kasih kepada rakyat New Zealand.

Lapor NZ Herald, mangsa, Temel Atacocugu yang ditembak sebanyak sembilan kali dalam serangan di Masjid Al Noor berkata, dia kini berasa lega kerana Tarrant akhirnya menerima hukuman setimpal.

“Saya ucapkan kia kaha kepada seluruh warga New Zealand.

“Ini adalah permulaan baharu malah masa depan lebih cerah bagi umat Islam, kita tidak mampu melakukannya tanpa bantuan rakyat New Zealand,” katanya.

Ketika ditanya mengenai hukuman Tarrant yang tidak akan dibebaskan untuk selama-lama­nya, Temel berkata, kini penduduk Islam bebas menjalani kehidupan harian mereka.

Sejurus selepas keputusan penghakiman itu, beratus-ratus penduduk berkumpul di luar Mahkamah Tinggi dekat sini, bersorak gembira dan menyanyikan lagu kebangsaan bagi menunjukkan sokongan kepada masyarakat Islam.

Seorang lagi mangsa yang terselamat dalam serangan ber­darah itu, Mustafa Boztas berasa amat gembira dengan keputusan mahkamah dan menyifatkan sistem perundangan New Zealand tidak pernah mengecewakan.

“Pengganas itu cuba memanipulasi fikiran kami, tetapi Hakim Cameron Mander tidak membiarkan dia menggunakan mahkamah sebagai platform berbuat demikian.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini,” katanya.

Halimah Tuyan yang kehila­ngan suami, Zekeriya Tuyan dalam tragedi di Masjid Al Noor pula lega kerana proses ‘penghakiman sengit’ sudah selesai.

“Saya seperti tidak percaya, apa yang kita doakan selama ini termakbul. Ini sangat melegakan,” katanya.

Ahmed Yesuf yang terkena tembakan juga berkata, dia terharu melihat tahap sokongan rakyat kepada masyarakat Islam.

“Anda boleh melihat sendiri betapa ramai penduduk New Zealand hadir memberi sokongan mereka kepada kita. Inilah yang membuatkan kita menjadi lebih kuat,” katanya.

Dalam pada itu, Anjum Rahman dari Majlis Wanita Islam (IWCNZ) menyifatkan hukuman penjara seumur hidup merupakan keputusan terbaik bukan sahaja untuk masyarakat tetapi bagi Tarrant.

“Saya amat bersetuju dengan sentimen hakim, itulah satu-sa­tunya hukuman dapat dijatuhkan dengan mengambil kira tahap jenayah dilakukan, kejadian tidak pernah berlaku sebelum ini, kesan serta jumlah penderitaan dan kehilangan yang ditanggung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya