SYDNEY: Dua ketulan emas dianggarkan bernilai A$350,000 (RM1.04 juta) ditemukan dua penggali di selatan Australia.
BBC melaporkan, Brent Shannon dan Ethan West menemukan emas tersebut berhampiran pekan Tarnagulla di negeri Victoria.
Penemuan ‘bertuah’ mereka turut disiarkan dalam program televisyen Australia, Gold Hunters menerusi saluran Discovery Channel.
Rancangan itu menunjukkan beberapa kumpulan penggali emas pergi ke kawasan terpencil di seluruh Australia bagi mencari ‘logam berharga’ itu.
Dalam pada itu, West menyifatkan penemuan tersebut sebagai paling bermakna dan hebat buat mereka berdua.
Dua ketulan emas itu ditimbang seberat 3.5 kilogram dan mereka menemukannya dengan bantuan bapa West menggunakan alat pengesan logam.
Dalam pada itu, Shannon turut melahirkan rasa teruja kerana tidak menyangka menemukan dua ketulan emas yang besar.
Katanya, kawasan penemuan itu tidak pernah diterokai dan tiada sebarang aktiviti perlombongan pernah dilakukan di situ.
Menurut Discovery Channel, pengumpul sanggup membayar sehingga 30 peratus atau lebih untuk ketulan emas yang ditemukan berbanding nilai sebenarnya.
Pada tahun lalu, seorang lelaki menemukan ketulan emas seberat 1.4 kilogram yang dianggarkan bernilai A$100,000 (RM300,602) menggunakan alat pengesan logam.