PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti bentuk bantuan untuk disumbangkan kepada kerajaan Lebanon berhubung isu letupan di Pelabuhan Beirut, kelmarin.
Sehubungan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya sudah berhubung secara langsung dengan perwakilan negara di sana.
Beliau secara peribadi turut memikirkan bentuk sumbangan yang terbaik untuk disampaikan.
“Lebih baik kita dapat maklumat daripada orang yang berada di tapak kejadian iaitu perwakilan kita, menerima maklum balas daripada kepimpinan Lebanon dan kita juga punya anggota Batalion Malaysia (Malbatt) di sana. Ini sedang diuruskan.
“Saya juga diminta menyampaikan laporan mengenai bentuk sumbangan ini kepada Perdana Menteri malam ini.
“Mesyuarat Jemaah Menteri dan Perdana Menteri sendiri setuju bahawa kita perlu hulur bantuan kepada Lebanon,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari ASEAN ke-53 di Wisma Putra di sini hari ini.
Beliau juga diminta menyampaikan laporan kepada Perdana Menteri malam ini mengenai perkara itu.
Kelmarin, letupan kuat menggegarkan ibu kota Beirut dengan sekurang-kurangnya 78 dilaporkan terbunuh manakala lebih 4,000 cedera.
Kejadian pada pukul 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) di gudang dekat pelabuhan itu menjejaskan beratus-ratus kediaman dan bangunan berhampiran, termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri.
Antara yang terbunuh adalah Setiausaha Agung Parti Kataeb, Nazar Najarian.
Gudang tersebut menyimpan ammonium nitrat.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin memberitahu, krisis-krisis yang pernah dilalui ASEAN menjadikan rantau ini lebih berpengalaman dan dapat menanganinya dengan baik.
Katanya, ASEAN berjaya keluar dari krisis-krisis dalam sejarah 53 tahun kewujudannya.
“Ia menjadi lebih kuat berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini sekiranya kita ikhlas, jujur dan melihat jauh di luar kotak dan gunakan kelebihan yang ada di rantau ini sebagai satu suara bila berdepan dengan kuasa-kuasa yang mempunyain ruang untuk membantu kita di ASEAN,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE