ANALISIS
Oleh MOHD. AZMI ABDUL HAMID
[email protected]
MENURUT kenyataan akhbar Vatican L’Osservatore Romano, Pope Francis sangat cemas terhadap keputusan Turki mengembalikan status Hagia Sophia dari muzium kepada masjid.
Suara bantahan pelbagai pihak memberi alasan bangunan asal Hagia Sophia itu dibina sebagai gereja zaman empayar Byzantine yang menjadi pusat kunjungan pelancong popular.
Anehnya ketika bangunan ibadah lain dimusnahkan seperti masjid di Arakan, Myanmar serta Xinjiang di China dan Ayodhiya, India, mereka sunyi sepi. Peliknya kali ini (Hagia Sophia) mereka mengeluarkan bantahan tetapi nampaknya lebih mirip berbaur politik berbanding soal hak beribadah.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ketika membuat keputusan itu kelihatan berani dan tidak mempedulikan kritikan Eropah, Washington, Greece, Moscow, Beijing dan negara lain. Pendirian beliau membela yang ditindas tidak pernah kendur khususnya Palestin, Rohingya, Kashmir, Uighur, Syria, Iraq, Yemen, Afghanistan serta Libya yang menjadi mangsa dalam zon konflik dan bencana alam.
Sebab itu Erdogan tidak popular di banyak ibu kota dunia terutama Barat.
Turki membuat keputusan radikal dan berani menukar Hagia Sophia dari muzium kepada masjid tetapi melalui proses undang-undang yang betul. Demikian juga keputusan berani Turki membuat campur tangan ketenteraan di Syria dan Libya. Membeli senjata dari Rusia juga tidak disenangi dan telah mencetuskan kemarahan pemimpin-pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Kebanyakan penganut Kristian sendiri merasa tersisih oleh pemimpin agama mereka yang menyebabkan perhimpunan agama seperti berhimpun di gereja di Barat semakin berkurangan.
Sepatutnya Pope Francis lebih khuatir di benua Amerika dan Eropah, ratusan gereja ditinggalkan dan diruntuhkan malah ada yang dijual.
Mungkin beliau tidak mahu penganut Kristian mempersoalkan kegagalan gereja Katolik Roman memulihkan imej akibat tercalar oleh isu paderi terlibat dengan perlakuan skandal seks kanak-kanak.
Selain itu, tiada pemimpin agama Kristian, badan sejarah dan kumpulan pelindung khazanah menyatakan protes terhadap peristiwa Masjid Al-Ahmar yang dibina sejak abad ke-13 di Safad ditukar kepada kelab malam oleh puak Yahudi Israel. Masjid itu dirosakkan dengan teruk oleh Yahudi. Mereka menggantikan ayat al-Quran di mimbar masjid itu dengan ‘Ten Commandments’ dalam bahasa Hebrew. Banyak masjid bersejarah yang dibom, dihancur dengan jentolak Israel sejak 1948 tanpa sebarang protes badan antarabangsa.
Ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyerahkan Bukit Golan di Syria kepada Israel pada 2018 walaupun ada kecaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun perkara itu akhirnya dilupakan komuniti antarabangsa.
Dari sudut undang-undang, pengumuman Erdogan menukar keputusan kerajaan Turki pada 1934 di bawah pengasas Turki moden, Mustafa Kemal Ataturk adalah betul. Keputusan menukar Hagia Sophia dari masjid kepada muzium yang dilakukan Mustafa Kemal ketika itu tidak sah.
Hagia Sophia adalah bangunan yang dilindungi wakaf di bawah Sultan Mehmet II pada 1453. Dokumen asal itu mengesahkan statusnya dan masih ada dalam arkib di Ankara. Pemimpin Uthmaniah itu yang menawan Konstantinople, telah membeli bangunan tersebut daripada pihak Kristian.
Greece menyatakan bantahan keras walhal negara itu terkenal dengan sejarah pemusnahan masjid-masjid era Uthmaniah selepas deklarasi kemerdekaan Greece pada abad ke-19. Banyak bangunan bersejarah Uthmaniah telah ditukar kepada penjara, pawagam, pejabat, asrama dan gedung. Sementara itu banyak masjid ditutup dan ditukar kepada gereja.
Hipokrasi terbesar adalah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kononnya akan menyemak semula status Hagia Sophia sebagai warisan dunia.
Sebenarnya keputusan mahkamah di Turki telah menukar ketidakadilan sejarah. Hagia Sophia sudah menjadi masjid dalam sejarah. Kenapa dunia tidak melihat kepada sejarah Sepanyol bila masjid ditukar kepada gereja setelah ditawan oleh Kristian pada 1492.
Keadilan berdasarkan fakta diperlukan. Faktanya, Hagia Sophia telah dibeli dari pihak berkuasa Kristian sebelum ditukar kepada masjid dan bukan dirampas secara paksa. Keputusan Turki perlu dihormati berdasarkan pembetulan terhadap fakta sejarah yang salah.
PENULIS adalah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia