WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan kebakaran hutan yang memusnahkan banyak kediaman penduduk di California sebagai satu bencana besar yang dahsyat.
Untuk itu bantuan persekutuan dikeluarkan bagi menguruskan bencana berkenaan.
BBC melaporkan, lebih 14,000 anggota bomba dikerah memadam kira-kira 585 kebakaran yang kini memusnahkan hampir 400,000 hektar kawasan hutan.
Pusat kaji cuaca meramalkan angin kencang akan memburukkan lagi kebakaran dan mengancam keselamatan penduduk, selain asap tebal menyelubungi ruang udara California.
Sekurang-kurangnya enam orang terkorban akibat bencana tersebut, manakala ribuan penduduk dipindahkan.
Kebanyakan kemusnahan infrastruktur disebabkan kebakaran besar di kawasan pergunungan dan hutan di bahagian terpencil.
Arahan pemindahan turut diluaskan kepada penduduk di kawasan Bay berhampiran San Jose dan penduduk ditempat lain juga diberi amaran bersedia berpindah.
AP melaporkan pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran secara berterusan selama 72 jam dalam keadaan yang sangat panas.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 43 anggota bomba cedera dan ratusan bangunan musnah.
Di Taman Negeri Big Basin, kebakaran menyebabkan banyak pokok musnah termasuk pokok tertinggi di dunia, Redwood yang berusia lebih 2,000 tahun.
Terdahulu, California meminta bantuan Australia dan Kanada bagi memadam kebakaran.
Gabenor California, Gavin Newsom menyifatkan kebakaran yang berlaku amat teruk berbanding sebelum ini.
Keadaan di negeri itu diburukkan lagi dengan jumlah jangkitan baharu kes Covid-19 yang semakin meningkat, sekali gus menjadi yang tertinggi di seluruh AS iaitu sebanyak 650,000 kes.
Keadaan itu menyebabkan banyak penduduk takut untuk pergi ke pusat perlindungan sementara kerana khuatir dijangkiti Covid-19.