NEW YORK: Sepasang kasut sniker yang pernah dipakai legenda bola keranjang, Michael Jordan dijual pada harga AS$615,000 (RM2.58 juta), jelas pusat lelongan Christie.
Jualan Air Jordan 1 Highs itu sekali gus ‘memadam’ rekod dunia Mei lalu apabila sepasang kasut Air Jordan 1 milik legenda tersebut terjual pada harga AS$560,000 (RM2.35 juta).
Air Jordan 1 Highs merupakan kasut yang dipakai bintang NBA itu dalam perlawanan pertunjukan 1985 di Itali.
Semasa perlawanan itu, papan belakang (backboard) yang diperbuat daripada kaca pecah ketika Jordan melontar bola ke jaring.
“Ini adalah kasut asli dengan serpihan kaca papan belakang pada tapak kasut itu,” kata Caitlin Donovan, ketua penjualan beg tangan dan kasut Christie yang mengajurkan lelongan di Stadium Goods.
Walaupun penjualan itu memecah rekod Mei lalu, lelongan baharu tersebut berada di bawah paras anggaran jualan iaitu antara AS$650,000 (RM2.72 juta) ke AS$850,000 (RM3.56 juta)
Rekod jualan menunjukkan nilai pasaran melambung tinggi dari barangan milik Jordan sejak penerbitan dokumentari ESPN/Netflix, The Last Dance yang menceritakan tentang Jordan dan Chicago Bulls. – AFP