HONG KONG: Taikun media Hong Kong, Jimmy Lai, salah seorang pengkritik kerajaan paling lantang, antara tujuh individu yang ditahan di bawah undang-undang keselamatan baharu Beijing.
Langkah tersebut sekali gus dilihat sebagai satu bentuk tekanan dan hukuman terhadap penyokong demokrasi di wilayah separa autonomi ini.
Penahanan terbaharu itu bertujuan menyasarkan pembangkang sejak Beijing menguatkuasakan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong Jun lalu, yang menimbulkan kebimbangan politik.
“Mereka menahan Jimmy di kediamannya kira-kira pukul 7 pagi,” kata pembantu rapat kepada pemilik akhbar Apple Daily dan Next Magazine itu, Mark Simon.
Katanya, beberapa anggota dari kumpulan media taikun itu juga ditahan termasuk dua anak lelaki Jimmy.
Polis dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak tujuh individu ditahan atas dakwaan bersekongkol dengan pihak luar iaitu salah satu kesalahan di bawah undang-undang keselamatan baharu itu, dan penipuan.
Sumber polis mengesahkan kepada AFP, Jimmy, 72, ditahan mengikut undang-undang baharu tersebut.
Simon menerusi Twitter berkata, polis menggeledah kediaman Jimmy dan rumah anak lelakinya dengan waran yang dikeluarkan.
Dakwaan Jimmy bersekongkol dengan pihak luar dilaporkan secara meluas media tempatan selepas pertemuan taikun itu dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo dan Naib Presiden AS, Mike Pence tahun lalu.
Jimmy dalam satu temu bual dengan AFP Jun lalu berkata, beliau sudah bersedia untuk dikenakan hukuman penjara.
“Jika berlaku, saya berpeluang menggunakan masa di penjara untuk membaca buku yang belum pernah dibaca. Satu-satunya yang boleh saya lakukan adalah bersikap positif,” katanya.
Beliau juga menafikan dakwaan bersekongkol dengan pihak luar dan menegaskan setiap rakyat Hong Kong mempunyai hak untuk bertemu dengan ahli politik asing. – AFP