Jangan ada lagi ‘tragedi’ Hiroshima, Nagasaki - Utusan Malaysia

Jangan ada lagi ‘tragedi’ Hiroshima, Nagasaki

GAMBAR sebelum (kiri) dan selepas kemusnahan bandar raya Hiroshima akibat hentaman bom atom pada 6 Ogos 1945. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

Oleh DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW [email protected]

MINGGU ini dunia khususnya rakyat Jepun memperingati genap usia 75 tahun kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki akibat ‘dihentam’ bom atom pada 6 dan 9 Ogos 1945.

Dalam peristiwa hitam itu, tentera perikatan diketuai Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bom atom ke atas kedua-dua bandar raya tersebut bagi mengakhiri Perang Dunia Kedua (1939-1945). Kejadian tersebut menyebabkan kemusnahan teruk serta kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa.

Tidak dapat dipastikan sehingga kini jumlah sebenar mangsa. Namun jumlah melalui rekod sejarah adalah sekitar 120,000 hingga 140,000 orang. Kesan radioaktif menyebabkan masalah kesihatan dan terpaksa dipikul mangsa yang terselamat sehingga kini.

Presiden AS ketika itu, Harry S. Trumen yang memberi kelulusan ke atas penggunaan bom atom menyatakan tindakan tersebut perlu bagi mengakhiri Perang Dunia Kedua, ketika ramai pihak menjadi mangsa kekejaman perang tentera Jepun ke atas negara-negara yang dijajah mereka di serata negara-negara Asia Timur.

Banyak pihak berpendapat senjata pemusnah seperti bom atom tidak sepatutnya digunakan ke atas mana-mana bandar raya. Perdebatan mengenai isu itu masih hangat dibincangkan.

Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua serta akhirnya Perang Dingin (1945-1991), tiada lagi bom atom digunakan. Walaupun begitu, Barat dilihat masih mempunyai keinginan menggunakan senjata pemusnah itu.

Senjata bom atom telah ditambah baik dari segi kekuatan kemusnahannya dan kini lebih dikenali bom nuklear. Beberapa negara Barat masih menyimpan bom nuklear dengan skala besar.

Dengan mengambil kira faktor kemusnahan besar, sudah tiba masanya dunia bersatu mengharamkan sebarang bentuk pembinaan senjata nuklear.

Walaupun nuklear boleh digunakan dengan cara yang dapat memberi faedah kepada masyarakat, namun sebarang bentuk pembinaan serta penggunaannya sebagai senjata perlu disekat dan diharamkan.

Pada 7 Julai 2017, bertempat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), majoriti negara memberi persetujuan menyokong Perjanjian Pengharaman Senjata Nuklear. Perjanjian itu bertujuan mengharamkan pembangunan senjata nuklear.

Sehingga kini, hampir 50 negara memberi persetujuan terhadap perjanjian itu termasuk Malaysia. Belanda menolaknya manakala Singapura berkecu­ali. Sebanyak 69 negara termasuk AS, United Kingdom, Perancis dan Rusia menyatakan pendirian tidak menyokong atas pelbagai alasan.

Langkah yang diambil 69 negara itu sedikit sebanyak membantutkan usaha mengharam­kan pembangunan senjata nuklear. Langkah yang diambil mereka juga menghantar isyarat jelas kepada negara-negara yang mempunyai rekod buruk hak asasi manusia seperti Israel dan Korea Utara yang berdegil membangunkan senjata nuklear.

Hanya melalui sokongan semua negara, senjata nuklear dapat dibendung dan dihapuskan sepenuhnya bagi menjamin masa depan dunia yang lebih selamat, aman dan makmur.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya