AKARTA: Kejayaan membangunkan kapal selam dinamakan Alugoro menjadikan Indonesia sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mampu menghasilkan kapal selam sendiri.
CNBC Indonesia melaporkan, kapal selam tersebut dihasilkan PT PAL Indonesia dengan kerjasama syarikat Korea Selatan, Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering (DSME).
Alugoro merupakan kapal selam ketiga yang dihasilkan DSME dan pada 24 Oktober tahun lalu, kapal selam itu berjaya menjalani ujian kestabilan di atas permukaan dan dalam air di dermaga Persero.
Ujian itu penting sebelum ujian seterusnya diadakan di laut lepas, malah Alugoro perlu menjalani beberapa ujian lain termasuk berlayar di perairan terbuka (Sea Acceptance Test) hingga ujian tahap akhir sebelum dapat beroperasi penuh.
Pembangunan Alugoro merupakan pelaburan jangka panjang negara menguasai teknologi tinggi selain menjadi legasi kepada generasi akan datang.
Hasil ujian tahap selaman nominal (Nominal Diving Depth) di perairan utara Pulau Bali pada 20 Januari lalu pula menunjukkan Alugoro mampu menyelam sehingga kedalaman 250 meter.
Ketua Jabatan Kapal Selam, Satriyo Bintoro berkata, ujian itu sangat penting untuk memastikan Alugoro mampu berfungsi dengan baik dan hasil ujian terbabit menunjukkan 90 peratus proses pembangunan kapal selam itu hampir siap.
Kapal selam itu mempunyai kepanjangan 61.3 meter, kadar kelajuan ketika menyelam 21 knot dan kelajuan di permukaan adalah 12 knot.
Pada 4 Mac lalu, Alugoro berjaya mengharungi ujian tahap selaman taktikal (Tactical Diving Depth) hingga kedalaman 310.8 meter bagi menguji kekedapan badan kapal selam itu.
Kejayaan Indonesia menghasilkan Alugoro secara tidak langsung menyaksikan kerajaan bersedia memperuntukkan dana 1.3 trilion (RM370.4 bilion) menerusi Skim Penyertaan Modal Negara untuk pembangunan kapal selam.
Indonesia turut merancang menambah tiga lagi unit kapal selam hasil kerjasama dengan DSME di Surabaya, Jawa Timur, malah kontrak tambahan projek sudah dimeterai pada 12 April tahun lalu.