ANALISIS
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED [email protected]
TUJUH belas bulan selepas 51 jemaah terbunuh dalam serangan pengganas kulit putih di dua masjid dekat Christchurch, akhirnya, mereka yang selamat dan ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang, mendapat keadilan.
Dalam tempoh empat hari ini bermula Isnin lalu, merupakan hari yang cukup memilukan mewarnai Mahkamah Tinggi Christchurch, New Zealand.
Brenton Tarrant, menggunakan senjata api, melepaskan tembakan tanpa perikemanusiaan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood, pada hari Jumaat, 15 Mac 2019.
Lelaki, bapa, wanita, ibu, anak, menjadi mangsa ‘serakahnya yang tidak berakal’, memandang umat Islam sebagai sasaran.
Peristiwa 17 bulan lalu, semuanya diceritakan kembali pada Isnin, Selasa dan Rabu oleh mereka yang cedera dan ahli keluarga mangsa. Seorang demi seorang ‘melepaskan perasaan dendam’ yang ditanggung 17 bulan ini terhadap Tarrant, 29.
‘Kamu pengganas sebenar’, ‘Tikus yang layak mati di timbunan sampah’, ‘A loser’ (seorang yang kalah). Semuanya dihamburkan. Tujuh belas bulan pendam sakit hati, kemarahan, ketakutan, sukar tidur, kemurungan, kehancuran dan ngeri, juga diceritakan mereka di ruang pengadilan.
Kehilangan demi kehilangan dirasakan mewarnai ruang mahkamah. Tawa senyum si bapa, ibu, anak, persahabatan, gurauan. Semuanya hilang. Seorang lelaki, ‘white supremacist’ Tarrant ‘melenyapkan’ semuanya pada 15 Mac tahun lalu.
Pagi semalam, Hakim Cameron Mander menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa mendapat pembebasan bersyarat terhadap Tarrant, ‘makhluk’ yang pernah ‘dikeji’ Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebagai ‘yang tidak layak untuk disebut namanya’.
Bermakna pengganas itu akan menghabiskan masa hidupnya di dalam ‘tirai besi’ selama-lamanya, hukuman yang pertama kali dilaksanakan di New Zealand.
Mander mengatakan, ideologi kebencian Tarrant menyebabkannya melakukan pembunuhan dalam serangan keganasan terburuk di New Zealand.
“Jenayah yang dilakukan kamu sangat jahat, bahkah jika kamu ditahan sehingga mati, itu tidak akan mencukupi,” tegasnya.
Beliau dengan tenang membacakan nama-nama mereka yang terkorban.
“Kejam. Tindakan kamu tidak berperikemanusiaan,” kata Mander.
Gamal Fouda, imam Masjid Al Noor – salah seorang yang menjadi sasaran Tarrant – mengatakan hukuman itu adalah harapan masyarakat Islam.
“Tetapi tidak ada hukuman yang akan membawa orang yang kita sayangi kembali dan kesedihan kita akan berterusan seumur hidup kita,” katanya.
Entah apa sebenarnya berada di dalam ‘kepala otak’ pengganas tersebut sehingga tampil dengan wajah yang tidak mempunyai perasaan ketika ‘ditikam’ satu persatu cerita mangsa dan mereka yang kehilangan insan tersayang.
“Saya, ibu kepada Sayyad Milne. Bagi saya, kamu (Tarrant) sudah mati. Apapun hukuman yang akan kamu terima di dunia ini, tidak akan pernah cukup.”
Demikian cerita Noraini Milne di depan Tarrant mengenai perasaannya kehilangan anak lelaki, Sayyad Milne, yang berusia 14 tahun. Namun, tidak sedikitpun Tarrant tampil muka yang menyesal dengan cerita Noraini, termasuk derita yang diceritakan semuanya.
Berakhir sudah penantian 17 bulan ini. Namun derita yang ditanggung pasti selamanya. Bukan sahaja New Zealand, dunia turut sama meratapi. Al-Fatihah buat mereka yang terkorban.
Harapnya, tiada lagi ‘jenama’ Tarrant selepas ini. Biarlah meringkuknya dia ke dalam penjara menjadi detik akhirnya kekejaman seperti berlaku 15 Mac tahun lalu.