Derita Palestin roboh rumah sendiri - Utusan Malaysia

Derita Palestin roboh rumah sendiri

KANAK-KANAK Palestin paling terjejas selepas kediaman ahli keluarga mereka dirobohkan atas arahan rejim Zionis khususnya di timur Baitulmuqaddis dan Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Penduduk Palestin, Alaa Borqan terpaksa merobohkan sendiri rumah­nya di timur Baitulmuqaddis, wilayah yang dijajah Zionis, selepas mahkamah memutuskan kediamannya itu dibina secara haram dan mesti diruntuhkan.

Lelaki berusia 35 tahun itu diberi dua pilihan: musnahkan rumah empat bilik di Jabal Mukaber itu atau biarkan pihak berkuasa tempatan melakukannya dengan segala perbelanjaan ditanggung Alaa.

Pihak berkuasa Israel ‘rancak’ melakukan kerja-kerja memusnahkan kediaman milik penduduk Palestin di timur Baitulmuqaddis dan Tebing Barat yang didakwa tidak mendapat permit pembinaan oleh rejim Zionis.

“Saya telah memohon permit itu kepada pihak berkuasa tempatan tetapi tidak berjaya. Saya membelanjakan sekitar 75,000 shekel (RM92,938) untuk yuran guaman dan penilaian harta­nah,” katanya.

Ben Avrahami, penasihat pihak berkuasa timur Baitulmuqaddis berkata, setiap kes ditangani dengan tegas menurut undang-undang.

“Kerja-kerja meruntuhkan kediaman (yang tiada permit) dilakukan dengan perintah mahkamah Israel dan diperiksa secara teliti,” katanya.

Alaa, bapa kepada empat anak bagaimanapun berkata, dia kecewa kerana telah me­laburkan wang simpanan untuk membina kediaman itu.

Dia terpaksa tinggal bersama keluarganya di rumah yang di­sewa sebanyak 2,800 shekel (RM3,469) sebulan.

Berdiri di depan runtuhan rumah, dia berkata, betapa sukarnya ‘merobohkan’ rumah itu ‘dengan tangannya sendiri’.

Menurut pihak berkuasa tempatan, 44 rumah telah dimusnahkan di timur Baitulmuqaddis sejak awal tahun ini.

Penduduk Palestin mendakwa tujuan sebenar rejim Zionis adalah ‘mengosongkan kota-kota yang didiami penduduk terbabit’.

Agensi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusian (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, dalam tempoh enam bulan ini, 65 kanak-kanak kehilangan tempat tinggal dan 85 yang lain terjejas dengan tindakan Zionis merobohkan kediaman penduduk Palestin di timur Baitulmuqaddis.

Dalam perkembangan lain, kereta kebal Israel terus melancarkan serangan di kawasan dikuasai Hamas di Semenanjung Gaza. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya