Covid-19: ‘Tiada peluru ajaib’ - Utusan Malaysia

Covid-19: ‘Tiada peluru ajaib’

HIDROKSIKLOROKUIN didakwa boleh merawat Covid-19 tetapi Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat mengesahkan ubat tersebut tidak boleh digunakan dalam rawatan berkenaan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Doktor China yang memasuki zon wabak Covid-19 di Wuhan tahun lalu memberi amaran tiada ‘peluru ajaib’ untuk ‘membunuh’ pe­nyakit itu setakat ini.

Profesor Cao Bin, Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Klinikal Kebangsaan untuk Penyakit Pernafasan di China, berpindah dari Beijing ke Wuhan ketika ‘lonjakan awal’ kes Covid-19.

Beliau mengembangkan percubaan awal menggunakan ubat HIV bagi merawat pesakit Covid-19.

Bercakap di webinar Universiti Nasional Singapura (NUS), beliau mengingat kembali hari-hari terakhir Covid-19 di Wuhan, pelbagai pihak berusaha mencari rawatan wabak berkenaan.

“Kita dengar banyak cerita keberhasilan rawatan penya­kit seperti ubat baharu atau sejenis minuman untuk pesakit. Tetapi sayangnya tiada ‘peluru ajaib’, bukan hanya pada masa-masa awal tetapi sehingga kini,” katanya se­perti dilaporkan Channel News Asia.

Beliau memperincikan bagai­mana hidroksiklorokuin pada awalnya mendapat persetujuan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) setelah Presiden Donald Trump menyebutnya sebagai cara menangkis Covid-19.

Ubat melawan malaria itu kemudiannya digunakan kepada pesakit di AS dan beberapa negara lain.

Namun pada Jun lalu, FDA menarik semula status penggunaannya dan ‘mengesahkan tidak mungkin berkesan me­rawat Covid-19’.

Cao Bin menambah, me­rawat pesakit Covid-19 adalah ‘rumit’ dengan ada yang me­ngalami radang paru-paru yang teruk, gangguan buah pinggang dan jantung.

Daripada mencari ‘peluru ajaib’, beliau menggesa langkah ‘strategi pintar’ – pesakit yang mengalami komplikasi yang berlainan harus dirawat berdasarkan kes demi kes.

Mengingat kembali ‘ketakutan dan hilang daya’ di Wuhan ketika wabak pertama kali bermula, Cao Bin berkata, pesakit pada awalnya mengalami komplikasi seperti radang paru-paru yang teruk, gejala buah pinggang dan jantung, tanpa doktor memahami me­ngapa.

“Kehidupan seharian kita terganggu oleh wabak ini,” katanya.

Beliau berkata, kebimba­ngan bertambah apabila semakin banyak tempat ditutup diikuti kebanjiran pelbagai maklumat dalam talian.

“Awal Januari, sebahagian besar negara tidak mempu­nyai pengalaman dengan pe­nyakit ini. Tetapi tidak lama kemudian, Covid-19 merebak ke bahagian lain di dunia. Pertama Iran, Itali, Korea dan Sepanyol, Perancis, England, AS – kini kes paling banyak berlaku di AS,” katanya.

Katanya, China akhirnya berjaya mengawal penyebaran Covid-19 dengan kesedaran masyarakat, penggunaan pe­litup muka dan ‘keupayaan ujian awal yang sangat kuat’.

Diagnosis awal adalah kunci ‘kejayaan’ itu, katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya