WASHINGTON: Penasihat perubatan terkemuka Presiden Donald Trump memberi amaran Amerika Syarikat memasuki fasa baharu dalam usaha memerangi wabak Covid-19.
Lapor BBC, Dr. Deborah Birx berkata, jangkitan virus itu merebak secara ‘luar biasa’ di seluruh negara, mempunyai ancaman lebih besar berbanding waktu bermulanya wabak tersebut.
Kata beliau, pandemik Covid-19 menjejaskan kawasan pedalaman serta bandar-bandar besar.
Katanya, penduduk luar bandar ‘tidak kebal’ melawan virus itu dan perlu memakai pelitup muka selain mempratikkan penjarakan fizikal.
AS melaporkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi berbanding negara-negara lain.
Berdasarkan maklumat Universiti John Hopkins, lebih 4.8 juta kes jangkitan Covid-19 dilaporkan dengan hampir 160,000 kematian direkodkan di AS.
Sementara itu al-Jazeera melaporkan, Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc berkata, bulan ini akan menjadi titik tolak bagi menangani penularan Covid-19 secara besar-besaran, yang kembali melanda negara selepas hampir tiga bulan lalu.
Katanya, gelombang jangkitan baharu Covid-19 boleh memberi kesan lebih kritikal berbanding terdahulu.
Filipina pula bakal melaksanakan perintah berkurung yang lebih ketat selama dua minggu sebagai usaha menangani penularan wabak.
Perkara itu diumumkan Presiden Rodrigo Duterte dan pasukan polis akan ditempatkan di beberapa kawasan serta wilayah termasuk Laguna, Cavite, Rizal dan Bulacan.
Jurucakap Duterte, Harry Roque berkata, perintah terbaharu itu diberi nama ‘Kuarantin Komuniti Diperketatkan’ (MECQ) dan akan dilaksanakan sehingga 18 Ogos ini.
Di China, wabak Covid-19 yang melanda wilayah Xinjiang masih belum reda sepenuhnya, dengan 28 kes baharu dilaporkan, menurut agensi berita AP.
Setakat ini, 590 kes dikesan berlaku di Urumqi dan beberapa langkah pencegahan diambil termasuk melakukan ujian saringan secara besar-besaran serta melarang penggunaan pengangkutan awam.
Selain itu, bandar raya kedua terbesar Australia, Melbourne memasuki hari pertama perintah berkurung yang lebih ketat serta mengumumkan sekatan baharu ke atas beberapa industri termasuk sektor peruncitan dan pembinaan.
Di India, Menteri Dalam Negeri, Amir Shah dimasukkan ke hospital kerana jangkitan Covid-19, berikutan kes harian negara itu mencapai 50,000 untuk hari kelima berturut-turut.
Negara itu melaporkan 52,972 kes baharu, menjadikan jumlah 1.8 juta kes, menduduki tempat ketiga tertinggi dijangkiti wabak Covid-19 di dunia selepas AS dan Brazil.
Laporan siasatan BBC Iran mendedahkan jumlah kematian akibat Covid-19 di Iran adalah hampir tiga kali ganda berbanding apa yang dilaporkan sebelum ini.
Rekod kerajaan menunjukkan hampir 42,000 orang meninggal dunia setakat 20 Julai lalu, berbanding 14,405 kes dilaporkan Kementerian Kesihatan.
Lapor CNN Indonesia, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Indonesia kini mencecah 113,134.