WASHINGTON: Di sebalik ‘cita-cita’ China ingin menguasai seluruh Laut China Selatan bahkan yang memungkinkannya berperang dengan Amerika Syarikat (AS), tersimpan misi besar untuk mengukuhkan kekuatan ketenteraannya di negara-negara Asia Tenggara.
Selain itu China juga didakwa ingin menguasai kekayaan sumber alam di wilayah maritim berkenaan.
Memetik laporan Forbes, wadah pemikir AS mengumpulkan peta interaktif mengenai bagaimana operasi pangkalan udara, peluru berpandu dan radar China di Laut China Selatan.
Projek di wilayah maritim yang menjadi ‘sengketa’ beberapa negara itu didakwa membolehkan Beijing menguasai kekuatan ketenteraan sehingga ke Singapura, Vietnam dan Indonesia.
Peta yang disusun Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) itu menggambarkan jangkauan senjata dan radar China yang ditempatkan di beberapa pulau kecil dan terumbu karang di Laut China Selatan.
Pesawat pengebom H-6 China yang berpangkalan di Pulau Woody, berjarak sekitar 643 kilometer dari Hong Kong didakwa dapat menyerang sasaran jauh ke timur Filipina dan selatan Singapura, termasuk laluan perdagangan antarabangsa Selat Melaka sehingga ke Jakarta.
Pesawat tempur J-11 milik China juga dapat menjangkaui hingga Singapura, Balikpapan dan Laut Jawa di Indonesia, serta ke timur Filipina.
Selatan Vietnam dan Malaysia juga berada dalam jangkauan kekuatan udara China itu.
Menurut peta CSIS, demikian juga peluru berpandu anti- kapal dan anti-pesawat China yang dikerahkan di Kepulauan Spratly membolehkan senjata itu menjangkaui seluruh wilayah Asia Tenggara.
Dari Mischief Reef, peluru berpandu anti kapal YJ-62 dan YJ-12B China dapat menyerang sejauh pantai Vietnam, Brunei dan Palawan, Filipina.
Peta CSIS itu juga menunjukkan dengan menguasai Laut China Selatan, China dapat menempatkan radar yang sangat diperlukan untuk ‘mengintip’ sasaran pesawat tempur dan peluru berpandu.
Melalui pangkalan udara di Pulau Woody dan Mischief Reef, pesawat pengesan KJ-500 China dapat mengesan pesawat di seluruh Vietnam, Manila dan Tarakan.
KJ-500 juga dapat mengesan kapal yang berlayar di sepanjang perairan Vietnam, Brunei dan Palawan.
Pakar Asia CSIS, Greg Poling berkata, peta tersebut menunjukkan pentingnya Laut China Selatan untuk meningkatkan kekuatan tentera Beijing di wilayah berkenaan.
Laut China Selatan, kaya dengan sumber tenaga sekian lama menjadi pertindihan tuntutan melibatkan China, Vietnam, Filipina, Taiwan, Indonesia dan Malaysia.
AS juga enggan membiarkan China menguasai wilayah maritim berkenaan.
Poling percaya banyak pangkalan yang dibina China meningkatkan peluang Beijing menguasai Laut China Selatan.
“Manfaat utama adalah kemampuan memantau semua aktiviti di Laut China Selatan,” katanya.
Dalam pada itu, bekas anggota Parti Komunis China, Cai Xia dengan lantang menggesa AS ‘menggandakan pendekatan keras’ terhadap Beijing.
Dalam satu temu bual bersama CNN, Xia turut mendesak agar sekatan dikenakan terhadap barisan pegawai tertinggi China dan menyeru komuniti antarabangsa bersama-sama menghentikan parti komunis itu daripada ‘menyusup masuk’ ke dalam institusi global bagi menyebarkan fahaman ‘totalitarianisme’.
Xia, 67, merupakan seorang daripada bekas anggota parti tersebut yang semakin berani menentang penguasaan Presiden China, Xi Jinping yang disifatkan ‘terlalu melampau’.