DAMSYIK: Ucapan ‘berapi-api’ Presiden Bashar al-Assad menghentam pentadbiran Amerika Syarikat (AS) yang didakwanya ‘memerlukan pengganas di Syria’ sedikit terganggu selepas ‘kelihatan tidak sihat’.
Al-Jazeera melaporkan, ucapan pemimpin berusia 54 tahun itu tersekat-sekat selepas setengah jam membuka sesi pertama Parlimen susulan kemenangan parti pimpinannya dalam pilihan raya bulan lalu.
Ketika bercakap mengenai sekatan AS dan krisis ekonomi di Syria yang sekian lama bergolak itu, beliau berkata: “Tekanan darah saya rendah, dan saya perlu minum air. Saya perlu duduk untuk beberapa minit.”
Sekembali selepas berehat, Bashar berkata: “Saya tidak menjamah makanan sejak petang semalam.”
Beliau kemudiannya meneruskan ucapan menghentam tindakan AS mengenakan sekatan terhadap Syria sebagai kaedah memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas di negara ini.
“AS memerlukan pengganas di sini, di atas (mereka) pengganas Daesh,” katanya seperti dilaporkan Press TV.
Kumpulan pengganas Takfiri menyerang Syria dan Iraq pada 2014, kumpulan yang didapati mendapat sokongan AS.
Bashar berkata, Washington memberikan kuasa kepada ‘Akta Caesar’ bagi menyatakan sokongan kepada pengganas.