4 hari siasat dalang 'pengganas ammonium' - Utusan Malaysia

4 hari siasat dalang ‘pengganas ammonium’

SEORANG mangsa terbaring menahan kesakitan akibat cedera berhampiran lokasi kejadian letupan di pelabuhan Beirut. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kerajaan memberi tempoh empat hari kepada jawatan kuasa siasatan untuk mengenal pasti dalang yang menyebabkan letupan besar di pelabuhan Beirut.

Menteri Luar, Charbel Weh­be berkata, langkah itu membolehkan pihaknya mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

“Kerajaan memutuskan untuk menubuhkan jawatan kuasa siasatan yang akan memberi laporan terperinci mengenai pihak yang bertanggungjawab, termasuk bagaimana, siapa, apa dan di mana, dalam maksimum empat hari.

“Tindakan undang-undang akan diambil dan kami memandang serius perkara itu,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang bertanggungjawab atas kecu­aian yang menyebabkan tragedi itu akan dihukum jawatan kuasa yang dianggotai beberapa hakim.

“Ini adalah kemalangan dan laporan awal menunjukkan salah laku pengurusan bahan letupan. Ini adalah kecuaian amat serius yang telah berlanjutan selama enam tahun,” katanya.

Angka kematian akibat insiden letupan itu meningkat kepada 137 orang dengan ratusan lagi hilang dan kira-kira 5,000 cedera.

Pihak berkuasa menjangkakan jumlah kematian akan meningkat berikutan anggota pasukan keselamatan masih melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Gabenor Beirut menganggarkan lebih 300,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat bencana itu.

Perdana Menteri, Hassan Diab dan Presiden, Michel Auon berjanji mengheret pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden itu ke muka pe­ngadilan.

Di Perancis, pendakwa raya membuka kertas siasatan me­ngenai letupan tersebut selepas 24 warga Perancis mengalami kecederaan.

Dalam pada itu Daily Mail melaporkan, ibu kota Lubnan itu ‘lumpuh’ akibat insiden letupan dahsyat tersebut yang memusnahkan hampir separuh premis di sini selain ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

Meskipun komuniti antarabangsa bekerjasama menghantar bantuan ke negara ini yang kini berada di ambang krisis ekonomi namun rakyat bimbang Lubnan tidak akan pulih sepenuhnya.

“Insiden letupan ini menandakan kemusnahan Lubnan dan saya menyalahkan peme­rintah dalam perkara ini,” kata Hassan Zaiter, seorang pengurus Hotel Le Gray yang musnah teruk di pusat bandar Beirut.

Nilai kerugian akibat kerosakan itu dianggarkan sekitar AS$15 bilion (RM62.8 bilion), ditambah pula dengan beberapa tekanan dan hospital-hospital dibanjiri mereka yang cedera.

Imej satelit menunjukkan kerosakan teruk di lokasi kejadian dengan gudang terbabit berubah menjadi kawah manakala bangunan bersebelahan turut musnah.

Difahamkan, bahan berbahaya itu ditinggalkan seorang ahli perniagaan warga Rusia, Igor Grechushkin pada September 2013 sebelum dipindahkan ke pelabuhan itu yang menyimpannya selama enam tahun.

Kapal yang membawa muatan tersebut ditahan dalam perjalanan dari Batumi, di bekas negara republik Soviet, Georgia ke Mozambique dan tidak pernah ditemukan selepas itu. –

AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya