LONDON: Saintis marin mendapati sebanyak 12 hingga 21 juta tan mikro plastik atau serpihan kecil plastik terapung ‘mencemari’ Lautan Atlantik.
Lapor BBC, kajian yang dijalankan Pusat Oseanografi Kebangsaan United Kingdom (UK) mengkaji lapisan 200 meter atas laut semasa ekspedisi penyelidikan di tengah Atlantik.
Jumlah plastik tersebut – 21 juta tan – cukup memuatkan kira-kira 1,000 kapal kontena.
Penemuan itu disiarkan dalam jurnal Nature Communications.
Dr. Katsia Pabortsava yang mengetuai kajian memberitahu, dengan mengukur jumlah partikel kecil plastik pada tahap lima peratus dari paras laut, dianggarkan ‘muatan plastik di seluruh Atlantik’ adalah jauh lebih besar berbanding angka dilaporkan sebelum ini.
“Sebelum ini, kami tidak dapat mengimbangkan jumlah plastik ditemukan di lautan dengan jumlah yang kami sangka telah dibuang.
“Hal demikian kerana kami tidak mengukur partikel paling kecil,” katanya.
Dalam ekspedisi dari UK ke Kepulauan Falkland, Pabortsava dan rakannya menemukan sehingga 7,000 partikel plastik per meter padu air laut.
Penyelidik mengkaji sampel tiga polimer yang sering ditemukan di laut iaitu polietilena, polipropilena dan polistirena.
Semuanya kerap digunakan dalam pembungkusan.
Pasukan penyelidik berharap hasil penemuan itu membantu usaha mengenal pasti tahap kemusnahan ekologi dan persekitaran akibat serpihan plastik dengan memberikan jumlah lebih tepat ketika melakukan pengumpulan di kawasan terpencil di lautan.
Pakar isu pencemaran plastik dari Universiti Manchester, Jamie Woodward berkata, penemuan itu turut mengesahkan kajian sebelum ini iaitu muatan mikro plastik di lautan ‘jauh lebih tinggi daripada dianggarkan’.
“Skala geografi kajian itu sangat mengejutkan. Ini amat penting kerana isu lambakan mikro plastik di lautan berlaku selama beberapa dekad.
“Sekarang kita perlu memahami kesan ekologi pencemaran ini di semua bahagian lautan memandangkan serpihan plastik itu sudah lama berada di lautan pada kedalaman berbeza,” katanya.
Sementara itu di tengah-tengah pandemik Covid-19, beberapa persatuan alam sekitar mendakwa, pelitup muka pakai buang kini merupakan bahan sisa buangan tertinggi.
Susannah Bleakley dari badan amal Morecambe Bay Partnership yang menyelaras kerja-kerja pembersihan pantai berkata, pihaknya menemukan lebih banyak pelitup muka pakai buang berbanding beg plastik.
“Kami menggesa orang ramai mengurangkan penggunaan plastik. Bagi pelitup muka, buanglah secara berhati-hati agar tidak menimbulkan isu keselamatan,” katanya.