TEL AVIV: Polis Israel terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang melakukan protes di luar kediaman Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Lapor portal al-Jazeera, protes itu diadakan sebagai bantahan terhadap dakwaan rasuah dan kegagalan kerajaan Netanyahu menangani krisis Covid-19.
Akibat dilanda kadar pengangguran tinggi, peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dan pelaksanaan semula sekatan, penduduk Israel dilaporkan hampir setiap hari melakukan demonstrasi membantah pemerintahan semasa.
Malah, kemarahan rakyat semakin meningkat dengan dakwaan rasuah terhadap Netanyahu.
Di Baitulmuqaddis, beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun di luar kediaman Perdana Menteri dengan menggesa Netanyahu meletak jawatan.
Kata polis, sekurang-kurangnya dua orang telah ditahan.
Di Tel Aviv pula, beribu-ribu orang berkumpul di tepi pantai, menuntut bantuan negara yang lebih baik kepada para peniaga yang terjejas teruk akibat Covid-19 dan rakyat yang hilang pekerjaan.