JAKARTA: Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memberi amaran potensi gempa bumi berskala besar di wilayah Kalimantan akibat pergeseran sesar Mangkalihat yang masih aktif.
Ketua Seksyen Mitigasi Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Daryono berkata, sesar tersebut dijangka mencapai kekuatan 7.0 pada skala Richter dengan kadar pergeseran 0.5 milimeter per tahun.
Katanya, perkara itu berdasarkan hasil kajian Pusat Kajian Gempa Nasional (Pusgen) 2017 selain merujuk kepada gempa tektonik sekuat 4.0 pada skala Richter yang berlaku di Kalimantan Timur, Khamis lalu.
“Sesar Mangkalihat merupakan antara sesar aktif yang patut diwaspadai di Kalimantan. Berdasarkan hasil senario model gegaran dengan kekuatan 7.0 pada skala Richter, terdapat beberapa wilayah yang terkena ‘tempias’,” katanya seperti dilaporkan CNN Indonesia.
Kalimantan Timur bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia.