ISTANBUL: Azan buat kali pertama selepas 86 tahun Hagia Sophia ‘membisu’ dilaungkan bilal pada pukul 1.28 petang ini waktu tempatan (6.28 petang waktu Malaysia).
Hari ini, Hagia Sophia secara rasmi kembali menjadi masjid selepas ditukar kepada muzium pada 1934 oleh presiden pertama Turki, Mustafa Kemal Atartuk.
Ribuan umat Islam memenuhi segenap ruang perkarangan Hagia Sophia untuk mengerjakan solat Jumaat yang turut dihadiri Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Ayat-ayat suci al-Quran turut dikumandangkan dengan Erdogan turut membacakan surah al-Fatihah dan surah al-Baqarah secara langsung, beberapa minit sebelum azan Zuhur berkumandang. – AGENSI