KUALA LUMPUR: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sufian Abd. Karim disahkan positif wabak Covid-19.
Sufian yang mewakili Barisan Nasional (BN) menerusi laman sosial Facebook miliknya mengesahkan perkara tersebut.
Beliau memohon maaf kepada pengundi, petugas, jentera, rakan dan keluarga yang banyak membantunya ketika kempen sebelum ini.
“Saya, Sufian, calon BN bagi DUN Pitas baru sahaja mendapat keputusan ujian Covid-19 dan disahkan positif.
“Doakan semoga saya diberi kekuatan menghadapi ujian ini dan diberi kesembuhan yang segera. Mohon kepada semua yang pernah bersama saya mengambil langkah berjaga-jaga dan sewajarnya dengan membuat saringan,” katanya.
Dua calon BN yang turut positif Covid-19 sebelum ini ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Muhammad Rafii dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan. -UTUSAN ONLINE