KOTA KINABALU: Menteri Pertahanan ketika peristiwa pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu , Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membidas kenyataan Datuk Mohamaddin Ketapi yang dilihat tidak menghormati pengorbanan anggota keselamatan dari seluruh negara yang terlibat dalam Op Daulat pada tahun 2013.
Ahmad Zahid berkata, tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu itu telah menghiris perasaan seluruh anggota keselamatan terutamanya keluarga 10 anggota yang terkorban.
“Sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, saya menafikan tuduhan fitnah mengenai insiden pencerobohan Lahad Datu dan mengesahkan Op Daulat adalah langkah terbaik kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi ancaman pengganas.
“Rakyat Sabah harus menolak calon-calon seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Meskipun dihentam pelbagai pihak, Mohamaddin dilihat masih mempertahankan ucapannya berkenaan pencerobohan itu.
Mohamaddin berkata, beliau tidak menghina anggota keselamatan tetapi kenyataan itu dituju kepada kegagalan kerajaan BN yang memerintah ketika itu.
Jelasnya lagi, beliau hanya memberikan gambaran berkenaan kesukaran yang dihadapi oleh anggota keselamatan dalam mempertahankan bumi Sabah.
“Seharusnya video yang ditularkan tersebut dimainkan sepenuhnya dan bukan hanya merujuk kepada soal tersebut semata-mata. Dan saya mengutuk sekeras-kerasnya permainan kotor
pihak tertentu yang jelas mahu menjatuhkan maruah Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Walau bagaimanapun, saya ingin memohon maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat tersebut mengguris hati anggota-anggota keselamatan keseluruhannya,” katanya.