PORT DICKSON: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri akan menyiasat kesahihan video yang tular dalam media sosial berhubung kewujudan buaya di perairan Port Dickson.
Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung penemuan buaya berkenaan.
“Kami akan siasat video tular itu terlebih dahulu sebelum mengesahkan ia berlaku di kawasan perairan Port Dickson,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter, @ShafikJaafar berkongsi video berdurasi 16 saat yang memaparkan kelibat seekor buaya berenang di laut yang dipercayai di berlaku di Port Dickson.
Menerusi akaun Twitter itu, pemuda berkenaan memaklumkan, video itu dirakamnya berhampiran pekan Port Dickson.
Video tersebut mendapat kira-kira lebih 149,000 tontonan di Twitter.
Pengguna Twitter tersebut dipercayai pekerja luar pesisir pantai dan video dimuat naik olehnya itu diulang ciap sebanyak 4,892 kali dan mendapat tanda suka melebihi 4,700.
Pada Oktober tahun lalu, turut tular klip video memaparkan kelibat buaya dilihat sekitar pantai berhampiran PD Waterfront di sini. – UTUSAN ONLINE