KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menunjukkan keyakinan rakyat negeri itu kepada calon-calon yang diketengahkan.
Perdana Menteri berharap semua calon yang menang memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.
“Ini masanya dan ketika anda melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat yang dipilih secara integriti, amanah dan dedikasi serta melaksanakan apa yang dijanjikan dalam aku janji PRN Sabah,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen tengah malam ini.
Muhyiddin mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Sabah yang meletakkan kepercayaan kepada parti-parti di bawah gabungan itu.
“Kita menghargai sokongan ini dan insya-Allah janji kita, GRS akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau juga menghargai peranan seluruh petugas dan sukarewalwan yang bekerja bersungguh-sungguh sepanjang kempen bagi memastikan kemenangan calon GRS.
“Sekali lagi saya memberi komitmen bersungguh-sungguh bahawa kerajaan negeri yang akan dibentuk seberapa segera mendapat sokongan padu daripada kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan saya.
“Apa yang saya kata sepanjang kempen akan ditunaikan seberapa segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE