Hajiji selesai angkat sumpah Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar timbalan - Utusan Malaysia

Hajiji selesai angkat sumpah Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar timbalan

Hajiji Noor mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr. Juhar Mahiruddin pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah di Istana Negeri di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini. - TANGKAP LAYAR IHSAN RTM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah baharu di Istana Negeri, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Berpakaian sut serba hitam, bersongkok, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang wabak Covid-19, Hajiji mengangkat sumpah dan lafaz ikrar tepat jam 10.30 pagi di hadapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Bismillahiirahmanirrahim…saya Hajiji Mohd Noor setelah dilantik ke jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah adalah dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya akan tunaikan kewajipan saya sebagai demikian dengan jujur dengan segala daya updaya bahawa saya akan menumpahkan taat setia saya kepada Sabah dan Persekutuan Malaysia.

“Saya akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah. Saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan pada mana-mana orang sama ada secara langsung atau tidak apa-apa perkara yang dibawa kepada pertimbangan saya atau diketahui saya sebagai Ketua Menteri kecuali sebagai mana yang dikehendaki untuk menunaikan kewajipan saya dengan sempurna sebagai demikian atau yang dibenarkan dengan khas oleh TYT,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut menerima watikah perlantikan dan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah manakala Datuk Dr. Jefrey Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah II.

Sementara itu, Dr. Datuk Joachim Gunsalam mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah III, Datuk Seri Masidi Manjun (Menteri Kerja Raya Sabah), Datuk Jahid Jahim (Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah).

Upacara tersebut dihadiri ahli keluarganya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dan pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan.

Ahli Parlimen Sulaman itu mengangkat sumpah selepas gabungan politiknya, GRS dengan kerjasama PN memenangi 38 daripada 73 kerusi DUN sekaligus menepis peluang Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengekalkan kuasanya.

Pada awalnya, walaupun selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Sabah memihak kepada PN, namun Sabah masih tidak mempunyai pemimpin walaupun selepas 48 jam pilihan raya itu berakhir.

Ia susulan tiada kata sepakat antara Bung Moktar dan Hajiji untuk memilih siapa yang layak menyandang jawatan berkenaan lantas menyerahkan kepada Tun Juhar untuk membuat pilihan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya