Sukar hendak percaya apabila menatap berita mengenai ibu yang menjerut atau melemparkan bayinya, adakah ini meroyan?
Semua ini bukan mustahil apabila si ibu meroyan atau dikenali sebagai postpartum depression (meroyan selepas bersalin) iaitu gangguan kesihatan mental yang berlaku selepas kelahiran.
Keadaan ini boleh menyebabkan berlaku perubahan mood yang ketara dan kesukaran dalam menguruskan emosi yang menjurus kepada simptom kemurungan.
Pegawai Psikologi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Norezzati Mohd. Hanafiah berkata, episod kemurungan bermula semasa kehamilan atau dalam tempoh empat minggu selepas kelahiran.
“Punca meroyan yang spesifik tidak dapat ditentukan namun begitu seperti kebanyakan penyakit mental lain, ia boleh terjadi atas beberapa faktor risiko.
“Antaranya, faktor seperti perubahan hormon selepas bersalin, sejarah gangguan mental dalam keluarga, kekurangan sokongan sosial dan tekanan atau desakan hidup adalah faktor risiko yang boleh meningkatkan kemungkinan seseorang mengalami meroyan,”katanya.
Norezzati berkata, risiko penyakit ini berlaku adalah lebih tinggi kepada wanita yang pernah mengalami episod meroyan sebelum ini dan yang mempunyai sejarah penyakit kemurungan atau Kecelaruan Bipolar.
TANDA DAN GEJALA
Perubahan mood ketara, kemurungan, rasa tertekan, kegelisahan yang melampau, gangguan tidur, berasa diri seperti tidak dihargai, menarik diri daripada perhubungan sosial dan ia boleh membawa kepada perasaan ingin mencederakan diri atau bayi.
‘Spektrum meroyan’ boleh berlaku mengikut tahap keterukan yang berbeza-beza bagi setiap individu. Ada yang hanya mengalami gejala ringan dan berjangka pendek.
“Sementara ada yang mungkin mengalami kemurungan lebih teruk dan kronik yang memerlukan rawatan perubatan. Secara umumnya, gangguan ini memberi kesan kepada keseimbangan emosi dan mental ibu atau pesakit,” terangnya.
Selepas kelahiran, tahap hormon dalam badan ibu tidak stabil, hal ini boleh mempengaruhi mood dan emosi wanita. Selain itu, faktor seperti tekanan fizikal dan mental selepas bersalin, serta perubahan dalam rutin harian juga menyumbang kepada risiko meroyan.
Boleh jadi ganas
“Dalam kes meroyan yang lebih teruk dan tidak diuruskan dengan baik, terutamanya postpartum psychosis, pesakit mungkin mengalami halusinasi, delusi (fikiran yang tidak realistik), dan bisikan yang boleh membawa kepada tindakan mencederakan diri sendiri atau bayi,” katanya.
Katanya, tingkahlaku agresif dalam kes meroyan yang teruk sering kali disebabkan oleh halusinasi atau delusi dialami pesakit dan emosi tidak terkawal.
Pesakit yang mengalami postpartum depression berisiko untuk mengalami rasa risau atau cemas yang keterlaluan. Dalam sesetengah kes, pesakit yang mengalami postpartum psychosis mungkin mendengar bisikan atau mempunyai pemikiran untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain, secara tidak langsung boleh membawa kepada tindakan yang tidak terkawal dan berbahaya.
Justeru, ibu yang mengalami meroyan perlu diberikan rawatan sewajarnya. Rawatan bergantung kepada tahap keterukan yang dihadapi oleh setiap individu.
Dalam kes ringan, sesi kaunseling atau terapi psikologi seperti Cognitive Behavioral Therapy (CBT) boleh membantu. Sokongan sosial juga penting dalam menangani penyakit ini.
“Sokongan keluarga amat penting dalam membantu kesembuhan ibu atau pesakit yang menghadapi penyakit ini. Suami atau keluarga boleh membantu dengan memberi sokongan moral kepada isteri serta membantu dalam penjagaan bayi,” katanya.
Pesakit berkemungkinan perlu menjalani rawatan dengan Pakar Psikiatri, penggunaan ubat-ubatan antidepresan atau antipsikotik. Kebanyakan pesakit boleh pulih sepenuhnya dengan rawatan yang sesuai.
Kes yang berlarutan lebih dari 10 tahun mungkin menunjukkan pesakit mengalami gangguan mental yang lebih mendalam, seperti chronic depression atau bipolar disorder.
“Mengurung pesakit meroyan bukanlah pendekatan disarankan, kecuali dalam situasi pesakit bertindak agresif kepada diri sendiri atau orang lain. Hal ini kerana tingkahlaku agresif ini berisiko membahayakan pesakit atau orang sekeliling.
“Namun dalam aspek untuk membantu pesakit meroyan, pemantauan rapi dan rawatan perubatan di hospital atau sokongan sosial yang kuat oleh keluarga lebih sesuai dan bermanfaat,” katanya.
Uruskan gejala dengan baik
Pengurusan tekanan yang baik semasa kehamilan dan selepas kelahiran boleh membantu mengurangkan risiko meroyan. Ibu hamil seringkali terdedah kepada simptom kecelaruan mood atau kebimbangan (anxiety) atau serangan panic attack.
Sekiranya simptom ini diuruskan dengan baik, maka, risiko meroyan secara tidak langsung dapat dikurangkan. Sokongan jitu daripada keluarga dan rakan terdekat semasa proses kehamilan atau selepas kelahiran boleh membantu.
Amalkan penjagaan kesihatan mental dan fizikal yang baik sebelum dan selepas bersalin. Selain itu, pastikan pesakit mendapat tidur berkualiti dan rehat mencukupi serta pemakanan seimbang.- UTUSAN