Letih lesu, anak anda mungkin ada anemia

Letih lesu, anak anda mungkin ada anemia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI ibu bapa tidak menyedari anak mereka mungkin menghidap anemia kerana masalah itu biasanya tidak menunjukkan petanda atau simptom jelas melainkan apabila ia sudah memasuki fasa yang teruk.

Anemia adalah masalah kekurangan sel darah merah atau hemoglobin untuk membawa oksigen ke seluruh tubuh untuk berfungsi dengan baik.

Anemia yang teruk biasanya akan menyebabkan wajah anak kelihatan pucat, lemah, kurang selera makan, keletihan dan lesu.

Profesor dan Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Pediatrik, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Dr. Muhammad Yazid Jalaludin berkata, anemia berlaku akibat kekurangan zat besi atau dikenali sebagai Anemia Kekurangan Zat Besi (IDA).

“IDA sering kali diabaikan kerana dianggap sebagai kes ringan. Tambahan pula ia tidak menunjukkan gejala ketara. Zat besi penting kerana ia membantu perkembangan otak anak-anak, meningkatkan keupayaan pembelajaran mereka.

“Ia juga membantu pertumbuhan dan perkembangan fizikal yang sihat dan pembentukan sel darah merah pada kanak-kanak selain menyokong sistem imun untuk membantu mereka melawan jangkitan penyakit,” katanya.

Kajian menunjukkan kanak-kanak dengan kekurangan zat besi kronik mungkin mempunyai IQ verbal atau pertuturan yang lebih rendah, masalah perhatian dan pemprosesan kognitif atau pemikiran yang lebih perlahan.

Ini boleh menjejaskan keupayaan pembelajaran dan pencapaian pendidikan apabila mereka membesar. Kekurangan zat besi juga boleh meningkatkan risiko pertumbuhan tubuh yang terbantut.

Dr. Muhammad Yazid berkata, kajian menunjukkan kanak-kanak dengan IDA, sering mempunyai ketinggian dan berat badan yang lebih rendah berbanding rakan sebaya yang mempunyai zat besi mencukupi.

Penyelidikan menunjukkan tanpa zat besi mencukupi, tubuh kanak-kanak sukar menghasilkan sel-sel imun dan protein penting. Ini menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada jangkitan.

Ini bermakna mereka mungkin lebih kerap sakit dan mengambil masa lebih lama untuk pulih.

Bagi mengatasi kekurangan zat besi, ibu bapa perlu bijak menyediakan sumber makanan semulajadi yang boleh membekalkan zat itu mengikut keperluan anak.

“Ibu bapa boleh memasukkan pelbagai makanan kaya zat besi ke dalam diet anak-anak. Sumber makanan zat besi yang lebih mudah diserap seperti daging, ayam, ikan dan sebagainya.

“Sumber zat besi juga boleh diambil daripada  kekacang atau sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, adalah sumber yang baik tetapi lebih sukar diserap.

 

“Oleh itu, menggandingkan makanan kaya zat besi dengan penggalak seperti makanan yang kaya vitamin C boleh meningkatkan penyerapan zat besi dengan ketara,” katanya.

Tambahnya, susu dan makanan yang diperkaya dengan zat besi penting dalam memastikan pengambilan zat besi mencukupi, terutamanya untuk kanak-kanak yang mungkin sukar mendapat sumber makanan yang terhad kepada diet pelbagai.

“Kajian menunjukkan penambahan zat besi dalam formula mengurangkan anemia dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Memperkaya susu dengan zat besi dan vitamin C membantu mengurangkan kekurangan zat besi dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Hilang zat besi ketika haid

Tambahnya, kanak-kanak perempuan boleh mengalami kekurangan zat besi menerusi haid setiap bulan, dinasihatkan mengambil makanan yang kaya zat besi seperti daging merah, ayam, ikan, sayuran hijau dan kekacang dalam diet harian.

“Gabungkan makanan yang kaya dengan zat besi dengan vitamin C seperti buah oren, strawberi dan brokoli boleh membantu penyerapan zat besi supaya dapat membekalkan khasiat dengan optimum.

“Elakkan minuman yang menghalang penyerapan zat besi. Kurangkan teh dan kopi kerana ia boleh menghalang penyerapan zat besi,” katanya.

Tambahnya, pastikan diet seimbang yang mengandungi pelbagai nutrien untuk menyokong kesihatan keseluruhan. Ambil suplemen zat besi dan dapatkan nasihat perubatan jika perlu.

SARINGAN ANEMIA

American Academy of Pediatrics mengesyorkan saringan anemia dengan penyaringan hemoglobin perlu dimulakan daripada usia awal iaitu kanak-kanak.

Baru-baru ini sekumpulan 28 pakar kesihatan pediatrik, obstetrik dan ginekologi, perubatan keluarga dan kesihatan awam dari Asia Tenggara dan India, membangunkan konsensus pakar bagi meningkatkan kesedaran serta menyediakan cadangan untuk saringan dan pengurusan kanak-kanak yang berisiko menghidap IDA.

Justeru, panel pakar mengesyorkan saringan rutin dijalankan setiap tahun untuk semua kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun. Konsensus ini adalah inisiatif cadangan tindak balas kepada penemuan kekerapan anemia yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.

“Ketika ini, diagnosis atau penyaringan IDA biasanya membabitkan pengambilan darah yang invasif atau menyakitkan.

“Pengambilan darah kanak-kanak adalah suatu proses sukar. Antara cadangan konsensus pakar, salah satunya saringan anemia dilakukan menggunakan alat hemoglobin yang tidak invasif.

“Teknologi inovatif ini membolehkan pengesanan risiko anemia tanpa rasa sakit. Matlamatnya untuk menggalakkan lebih ramai ibu bapa mengambil bahagian dalam saringan ini, memastikan pengesanan awal dan intervensi yang tepat pada masanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya