Parut boleh hilang atau kekal?

Parut boleh hilang atau kekal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK kira kecil atau besar, luka akibat kemalangan atau pembedahan yang meninggalkan kesan parut pastinya kurang menyenangkan sesiapa juga.

Apatah lagi jika parut itu menebal dan menonjol, ia sedikit sebanyak memberikan kesan ke atas psikologi seseorang walaupun kedudukannya tersembunyi daripada pandangan orang ramai.

Tambahan pula jika parut berkenaan berada di kawasan terbuka seperti muka, lengan atau kaki, sedikit sebanyak akan menjejaskan keyakinan diri individu terbabit.

Doktor perubatan dan pempengaruh, Dr. Fatin Liyana Asri berkata, parut selepas menjalani pembedahan caesarean dilihat sebagai kisah dirinya.

“Ia mengingatkan apa yang saya pernah lalui. Saya selalu mengimpikan untuk menjadi seorang ibu. Saya bangga dengan apa yang saya sudah capai. Namun, parut saya sudah menjadi hipertropik. Ia tidak berapa elok untuk dilihat.

“Bekerja di klinik ibu hamil, saya sering mengingatkan pesakit supaya menjaga luka selepas bersalin atau pembedahan kalau tidak mahu ia meninggalkan parut. Merealisasikan apa yang sering dinasihatkan kepada pesakit, saya turut memastikan penjagaan luka pembedahan caesarean,” katanya.

Katanya selepas mandi, luka pembedahan akan dikeringkan dan cecair yang berlebihan turut dikeringkan. Dr. Fatin Liyana juga memastikan dirinya kerap berjalan. Enam minggu dalam pantang, parut semakin hilang tetapi ada hipertropik di hujung ikatan benang.

Beliau mengakui tidak tahu bagaimana ia berlaku kerana ia di luar kawalan. Habis pantang, parut itu disapu krim topikal dan sekitarnya diurut, tetapi ia tidak berkesan.

Beliau berkata demikian pada Sesi Perkongsian Pengalaman berkaitan pemulihan parut selepas pembedahan caesarean, sempena Hari Pertolongan Cemas 2024, anjuran Hansaplast Malaysia, baru-baru ini.

Turut hadir,  Pengurus Serantau untuk Beiersdorf Malaysia & Singapura, Christopher Vierhaus, Pengamal Penjagaan Luka Dr. Clement Limus Apong dan selebriti Yana Samsudin.

Sementara itu,Yana mengakui tidak tahu bagaimana menjaga luka selepas melahirkan anak sulungnya empat tahun lalu secara caesarean.

“Pembedahan pertama dulu, saya tidak tahu macam mana hendak menjaga luka. Saya hanya letak ubat yang diberikan doktor. Masa itu, saya dapat rasakan parut ini akan ‘naik’ menjadi keloid kerana kulit saya memang jenis sensitif dan ekzema.

“Ketika hendak bersalin kali kedua, doktor cakap boleh potongkan keloid ini. Jadi, saya seronok sebab takkan ada keloid lagi. Kali ketiga bersalin secara caesarean, sekali lagi doktor buang keloid,” katanya.

Katanya keloid bukan saja menjejaskan keyakinan dirinya tetapi turut menyakitkan apabila setiap kali keloid yang tebal itu bergesel dengan sesetengah fabrik yang dipakainya.

LUKA LAMA SEBABKAN PARUT

Dr. Clement berkata, parut adalah tisu tidak normal yang tumbuh di atas permukaan kulit akibat pemulihan luka sembuh secara tidak normal.
“Apabila ada tisu tidak normal, penghujung saraf akan rasa lebih sensitif. Luka boleh menjadi radang, menyakitkan, gatal dan rasa terik disebabkan pertumbuhan tidak normal di dalam parut ini.

“Tiada sesiapa pun boleh mengawal daripada berlakunya parut selepas luka sembuh. Ia bergantung kepada nasib seseorang, sama ada tiada parut atau timbul parut yang menebal,” katanya.

Apabila menjalani pembedahan caesarean, doktor cuba mengurangkan parut menggunakan benang paling halus. Benang di bahagian dalam pula perlu lebih kuat seperti joran pancing ikan.

Dr. Clement menjelaskan terdapat dua jenis parut iaitu parut hipertrofi dan keloid. Hipertrofi berlaku apabila tubuh menghasilkan kolagen berlebihan, menyebabkan parut timbul di atas kulit dan persekitarannya.

“Parut ini tumbuh di atas luka saja, dipanggil sebagai parut hipertrofi. Apabila parut ini terbentuk seakan bengkak berwarna merah yang timbul pada kulit dan tebal. Biasanya berlaku dalam empat hingga lapan minggu setelah jangkitan luka.

Parut Keloid
 Bentuk parut yang berlebihan dan lebih serius kerana ia boleh tumbuh tanpa batasan menjadi neoplasma yang besar.
 Keloid berlaku apabila saiz parut yang menebal menjadi semakin besar hingga melepasi kawasan yang luka. Saiznya boleh bertambah jika tidak dirawat dengan segera.
 Parut keloid boleh terjadi pada sesiapa sahaja tetapi paling biasa pada orang berkulit gelap.
 Biasanya keloid terbentuk apabila berlaku pembedahan, kecederaan kulit seperti tindik, tatu, jerawat dan luka akibat terbakar atau terkena objek tajam seperti pisau dan suntikan.

Parut atropik
 Parut atropik berbentuk seperti lekukan yang tenggelam pada permukaan kulit. Ia kelihatan seperti berlubang. Ini disebabkan apabila struktur asas yang menyokong kulit, seperti lemak atau otot yang hilang.
 Parut jenis ini sering dikaitkan dengan jerawat,penyakit cacar air, penyakit lain (terutamanya jangkitan Staphylococcus), pembedahan, gigitan serangga dan labah-labah tertentu, atau kemalangan.
 Ia juga boleh disebabkan oleh gangguan tisu penghubung genetik seperti gejala Ehlers-Danlos.

“Kadangkala parut ini boleh berkembang di luar luka iaitu di sekeliling kulit. Ini dipanggil parut keloid. Keloid adalah parut setompok yang timbul. Keloid tidak hanya berlaku selepas pembedahan malah ke atas parut lama seperti dialami pesakit saya, apabila parut suntikan BCG yang sudah berusia 20 hingga 30 tahun menjadi keloid,” katanya.

Rawatan luka

Dr. Clement berkata, mengekalkan kelembapan kulit sangat penting kerana kulit yang terlalu basah menyebabkan ia setengah mati dan tidak boleh menumbuhkan kulit baharu.

“Sekiranya mengalami luka, sebaiknya elakkan berenang atau mandi. Sebaiknya hanya lap badan dengan tuala atau tisu basah. Sekiranya terpaksa mandi, gunakan plaster untuk menutup luka ketika mandi kerana apabila mandi, air sabun membawa semua kotoran dan bakteria dari bahagian tubuh lain  akan masuk ke dalam luka,” katanya.

Katanya, kekalkan tahap hidrasi seterusnya kekalkan suhu dan kehangatan kerana salur darah akan kembang yang membolehkan lebih banyak darah pergi ke kawasan luka dan kulit semulajadi akan tumbuh di bahagian dalam.

Parut keloid boleh dibuang melalui pembedahan tetapi akan kembali selepas beberapa lama terutama jika individu terbabit memiliki kulit yang cenderung mendapat parut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN