Steroid bermanfaat, tidak perlu ditakuti

Steroid bermanfaat, tidak perlu ditakuti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai yang risau apabila diberikan ubat steroid oleh doktor, apatah lagi hendak memakan atau menggunakannya kerana steroid sering dimomokkan dengan kesan buruk. Bagaimanapun, steroid memainkan peranan penting dalam memastikan tubuh kita kekal sihat dan ramai tidak tahu dan terkejut apabila dimaklumkan steroid sebenarnya sudah ada di dalam tubuh kita.

Pakar Respiratori dan Perubatan Dalaman, Sunway Medical Centre, Velocity, Dr. Nurul Yaqeen Mohd. Esa berkata, steroid semula jadi dalam tubuh adalah kortisol yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal.

“Steroid penting bagi mengekalkan keperluan etologi manusia. Ia juga penting sebagai tindak balas sistem imun atau pertahanan diri, mengawal metabolisme karbohidrat, protein dan mengekalkan tahap darah.

“Selain kortisol, steroid juga penting dalam mengawal rintangan sodium atau garam di dalam buah pinggang, sebagai anti radang dan mengawal karbohidrat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Dr. Nurul Yaqeen berkata, apabila tubuh bertindak balas, otak akan merangsang kelenjar pituitari untuk menghasilkan kortisol di dalam kelenjar adrenal untuk menghasilkan adrenalin.Dua lagi steroid penting yang dihasilkan oleh tubuh setiap manusia adalah hormon estrogen dan progesteron yang dihasilkan oleh ovari wanita. Dalam kalangan lelaki, hormon androgen termasuk testosterone dihasilkan.

Hormon ini memainkan peranan penting dalam sifat wanita, seperti perkembangan payudara, bentuk badan, dan rambut badan. Ia juga terbabit dalam kitaran haid, kesuburan dan kehamilan.

Fungsi utama progesteron adalah untuk menyediakan endometrium atau lapisan rahim bagi telur yang disenyawakan untuk ditanam dan berkembang.

Kepentingan steroid 

Dr. Nurul Yaqeen berkata, ubat steroid boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan diberikan di kawasan bermasalah iaitu melalui sistem tubuh dengan beberapa kaedah. Sebagai contoh, rawatan steroid lokal termasuk suntikan pada sendi, ubat titisan mata dan krim kulit.
“Antara rawatan menggunakan steroid adalah rawatan sistemik termasuk ubat oral yang diambil melalui mulut atau ubat yang dimasukkan melalui salur darah, intravenously (IV) atau otot pesakit.

“Kortikosteroid sintetik seperti dextametason, betametason dan prednisolone pula diberikan kepada pesakit bermasalah dalam mengeluarkan steroid ini. Ia juga digunakan  dalam terapi penggantian hormon dan sebagai sebahagian rawatan masalah radang. Steroid juga digunakan merawat asma, osteoarthritis dan penyakit radang usus,” katanya.

Tambahnya, steroid penting dalam mengawal tindak balas radang seperti pesakit asma dan ramai pesakit bermasalah pernafasan mendapat manfaat daripada ubat ini seperti pesakit Covid-19,terutama bagi kategori 3, 4 dan 5. Selain itu, steroid digunakan ke atas pesakit bermasalah respiratori akut seperti hipersensitiviti imuniti dan masalah respiratori kronik seperti penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) dan penyakit Sistemik Lupus Eritemosus (SLE), iaitu sejenis penyakit auto imun.

Berdasarkan laporan kesihatan, steroid berupaya menghilangkan kesakitan dalam tempoh 24 jam, namun ia tidak menghalang sesuatu penyakit itu daripada berulang.
“Jumlah dos diberikan bagi dewasa boleh mencecah 10 mg seperti  Dextametasone dalam satu tablet tetapi di negara kita hanya ada 4 mg dan paling tinggi hanya 8 mg  saja boleh diberikan.

“Bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke atas, 0.6 mg per kilogram sebagai dos permulaan saja untuk merawat sakit tekak. Masalahnya ada pesakit yang mengalami sakit tekak yang teruk sehingga tidak boleh menelan atau bercakap,” katanya.

Tambah Dr. Nurul Yaqeen, ada pesakit akan mula mengalami batuk sehingga mengganggu kualiti hidup mereka. Ini memerlukan rawatan steroid untuk tempoh maksimum dua hingga tiga hari.

Berdasarkan laporan kesan steroid oleh Universiti Bristol, ke atas jangkitan dada dalam kalangan bukan pesakit asma dewasa, steroid berkesan dalam merawat batuk. Seramai 398 pesakit yang diberikan 40 mg prednisalone, mendapati tiada penurunan signifikan daripada sudut keterukan gejala batuk, dalam tempoh hari ke empat dan kelima.
Kesan steroid

Tidak dinafikan steroid boleh memberikan kesan sampingan negatif kepada penggunanya tetapi kesan ini hanya sementara jika dos dan penggunaannya terkawal. Sebagai contoh Prednisone boleh menyebabkan kesan sampingan tertentu yang mungkin boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari hingga minggu.

Bagaimanapun Dr. Nurul Yaqeen berkata, sekiranya kesan sampingan dialami berpanjangan, pesakit perlu dirujuk kepada doktor untuk peng­ubahsuaian ubat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya