Dalam seminar kesihatan Duta Kenali Ubat baru-baru ini, peserta ditanya sama ada mereka pernah mengambil ubat tahan sakit atau tidak sebelum majlis berlangsung pada hari itu.
Ramai mengakui pernah mengambil ubat tahan sakit sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Beberapa lagi mendakwa tidak pernah mengambil sebarang ubat tahan sakit seumur hidup!
Hakikatnya, masih ramai keliru dan tidak faham apakah yang dikatakan ubat tahan sakit atau analgesik. Ini kerana ada beranggapan ubat paracetamol dan ubat batuk yang sering dimakan ketika mengalami demam atau sakit kepala bukan sejenis ubat tahan sakit.
Pegawai Farmasi Hospital Selayang, Fatin Irina Ismail berkata, terdapat banyak jenis dan bentuk ubat tahan sakit yang boleh didapati di pasaran seperti tablet, kapsul, suntikan dan sirap.
“Ubat tahan sakit terbahagi kepada dua jenis iaitu Opiod dan bukan Opiod. Bukan Opiod dikenali sebagai ubat tahan sakit ringan dan boleh didapati di farmasi luar seperti paracetamol untuk sakit ringan dan sederhana.
“Ubat tahan sakit Opiod pula memerlukan preskripsi daripada doktor kerana ia digunakan untuk merawat penyakit kronik. Kebanyakan ubat tahan sakit Opiod adalah ubat terkawal dan tidak boleh beli di farmasi,” katanya pada Mesyuarat Teknikal Pemantapan Duta Kenali Ubat Anda Negeri Selangor, yang dihadiri lebih 30 Duta Ubat negeri itu yang terdiri daripada orang awam.
Katanya lagi, sekiranya mengalami kesakitan, pesakit mesti merujuk kepada doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan rawatan bersesuaian termasuk pengambilan ubat tahan sakit yang betul.
Ini bagi mengelakkan kesan sampingan yang mungkin boleh menjejaskan lagi tahap kesihatan pesakit atau dikhuatiri boleh menimbulkan komplikasi lain yang lebih buruk.
Selain itu, pengambilan ubat tahan sakit yang berpanjangan juga akan menyebabkan kebergantungan kepada ubat itu. Justeru, sebaiknya dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil ubat tahan sakit.
DEFINISI KESAKITAN
Kesakitan terbahagi kepada dua jenis iaitu akut dan kronik. Kesakitan akut biasanya berlaku secara tiba-tiba dan tempoh kesakitan yang dialami kurang daripada tiga bulan.
“Punca utama kesakitan juga adalah jelas. Sakit akan hilang apabila tisu mula sembuh. Sebagai contoh, kesakitan akibat mengalami luka, melecur, terjatuh, terseliuh dan senggugut,” kata Fatin Irina.
Katanya, kesakitan kronik pula didefinisikan berlaku dalam tempoh lama iaitu melebihi tiga bulan. Rasa sakit juga berulang-ulang, perlahan-lahan dan semakin serius sehingga pesakit tidak mampu menahannya.
Sebagai contoh, sakit kronik seperti selepas menjalani pembedahan pembuangan anggota tubuh atau pembedahan lain, sakit akibat tulang retak atau anggota patah, sakit mata, sakit selepas bersalin dan sebagainya. Kesakitan yang dialami boleh menyebabkan tubuh badan menjadi lemah, gangguan tidur, kesan ke atas perubahan tingkah laku pesakit dan gaya hidup, kurang selera makan dan menyebabkan pergerakan terbatas.
“Ubat tahan sakit hanya boleh diambil apabila diperlukan saja iaitu apabila berasa sangat sakit. Bagi sakit ringan biasanya doktor akan menasihatkan untuk makan dua biji paracetamol.
“Jarak masa bagi setiap dos adalah sekurang-kurangnya empat hingga enam jam selepas makan ubat tahan sakit. Pastikan pengambilan ubat tahan sakit tidak melebihi lapan biji sehari dengan kadar minimum empat biji sehari,” katanya.
KESAN UBAT TAHAN SAKIT
Setiap ubat yang diambil lazimnya mempunyai kesan sampingannya tetapi ia bergantung kepada keadaan kesihatan pesakit dan jenis ubat yang diambil.
“Antara kesan sampingan ubat tahan sakit yang biasanya dialami oleh pesakit adalah seperti radang atau iritasi pada perut yang menyebabkan rasa tidak selesa, kembung, ulser dan pendarahan.
“Selain itu, rasa loya, muntah, pening dan paling membimbangkan ubat tahan sakit yang diambil dalam tempoh lama boleh merosakkan hati dan menjejaskan buah pinggang individu terbabit,” katanya.
BILA PERLU MAKAN UBAT
Pesakit perlu memahami cara mengambil ubat tahan sakit yang betul seperti arahan doktor bagi memastikan ubat dapat berfungsi atau lebih berkesan.
“Kebiasaannya pegawai farmasi akan memberikan penjelasan cara mengambil ubat sama ada sebelum atau selepas makan. Bagaimanapun, ramai keliru dengan arahan ini. Adakah ia perlu diambil sejurus selepas makan atau sebelum makan?
“Ramai yang mengambil ubat sejurus selepas makan atau makan ubat dulu sebelum makan. Sebenarnya anda perlu ambil ubat satu jam sebelum makan atau dua jam selepas makan untuk memastikan ubat berfungsi dengan lebih berkesan,” katanya.
Sekiranya perlu ambil ubat sekali sehari, bermakna perlu makan ubat setiap 24 jam iaitu sekali pada pukul 8 pagi saja manakala ubat yang perlu dimakan dua kali sehari, perlu dimakan setiap 12 jam iaitu 8 pagi dan 8 malam. Bagi dos ubat yang perlu diambil tiga kali sehari, anda perlu makan ubat setiap lapan jam, iaitu pada pukul 6 pagi, 2 petang dan 10 malam.
Ubat yang perlu dimakan empat kali sehari perlu dimakan setiap 6 jam iaitu pada pukul 6 pagi, 12 tengah hari, 6 petang dan 12 malam.
5 Tips mengurangkan kesan sampingan ubat
Ambil ubat yang betul
Pastikan pesakit yang betul
Ikut dos yang betul
Ambil ubat mengikut masa yang ditetapkan.
Tempoh pengambilan ubat yang betul.
Tahap kesakitan:
Tahap kesakitan yang dialami biasanya diukur mengikut skala jadual berikut:
0- Tidak sakit
1-3 ringan
4-6 Sederhana
7-10 kuat
Tahap kesakitan bagi kanak-kanak di bawah tujuh tahun biasanya diukur berdasarkan mimik muka mereka.
Jenis ubat Bukan Opiod:
Paracetamol contoh: Panadol
Diclofenic contoh: Voltaren
Mefenamic acid contoh: Ponstan
Celecozib contoh: Celebrex
Sebelum makan ubat pastikan beberapa perkara berkaitan keadaan kesihatan diri pesakit bagi mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini.
“Pastikan sebelum makan ubat, anda tidak hamil atau sedang merancang untuk mengandung. Selain itu, pastikan tidak mempunyai alahan terhadap ubat tertentu kerana ada sesetengah akan mengalami alahan seperti ruam sebaik mengambil ubat tahan sakit yang tidak sesuai.
“Ibu yang menyusukan bayi juga perlu berhati-hati apabila mengambil ubat tahan sakit. Pesakit yang mengambil ubat cair darah dan menghidap sakit jantung, hati dan ulser perut juga perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum makan ubat tahan sakit,” kata Fatin Irina. – UTUSAN