Hepatitis bersarang dalam diam, boleh rosakkan hati

Hepatitis bersarang dalam diam, boleh rosakkan hati

SUNTIKAN HBIG ini memberikan perlindungan sementara bagi melawan jangkitan hepatitis B sehingga sistem imun bayi mampu membina ketahanan sendiri melalui imunisasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyakit Hepatitis B dan C adalah pembunuh senyap, sering tidak dikesan sehinggalah komplikasinya muncul dan berkembang menjadi penyakit lebih teruk iaitu kerosakan hati dan kanser.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, sejumlah 254 juta orang di seluruh dunia hidup dengan hepatitis B dan 50 juta orang lagi hidup dengan hepatitis C di seluruh dunia.

Setiap hari, kira-kira 6,000 orang dijangkiti dengan virus hepatitis dan lebih 3,000 orang meninggal dunia di seluruh dunia akibat hepatitis B dan jangkitan hepatitis C.

Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Subang Jaya Medical Centre, Dr. Philip Pang berkata, di Malaysia, dianggarkan 1.1 peratus populasi dijangkiti virus hepatitis B virus dan 2.5 peratus dijangkiti virus hepatitis C masing-masing pada tahun 2017 dan 2019.

“Virus hepatitis adalah penyebab kematian ketujuh paling kerap di dunia dengan 94 peratus berpunca daripada jangkitan kronik hepatitis B dan C yang disebabkan sirrhosis dan kanser hati.

“Penyakit hepatitis yang tidak dikesan menyebabkan kerosakan hati dan lebih membimbangkan kerosakan hati boleh menjadi semakin teruk dan menjadi kanser hati,” katanya kepada Mingguan Malaysia. 

Di Malaysia, usaha sedang giat dijalankan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dan memastikan kemudahan menjalani pemeriksaan ke arah bebas daripada bayangan hepatitis.
Ini kerana virus hepatitis boleh dicegah dan dirawat. Bagaimanapun, amat penting mengambil langkah pencegahan awal. Di negara ini, tiga dos vaksin hepatitis B diberikan kepada semua bayi yang baharu dilahirkan sebelum mereka memasuki usia setahun.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan pemeriksaan kesihatan bersasar untuk mereka yang berisiko tinggi termasuk wanita hamil dan yang mempunyai sejarah keluarga. KKM juga membangunkan pelan Kebangsaan Strategik Hepatitis B dan C (NSPHBC) 2019-2023 yang menyasarkan pencegahan hepatitis B dan C menjelang 2030.

PUNCA HEPATITIS

Hepatitis adalah radang hati yang berpunca daripada beberapa virus, termasuk hepatitis A, B dan C.

“Ia juga disebabkan toksin, ubat-ubatan dan masalah auto imun. Hepatitis B paling kerap berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak melalui pemindahan virus ketika dilahirkan atau melalui penyusuan ibu.

“Orang dewasa berusia antara 27 hingga 40 tahun juga berisiko tinggi dijangkiti dengan virus hepatitis B dan C di mana kebanyakan mereka tidak menyedarinya kerana tidak mempunyai gejala,” katanya.

Tambah Dr. Pang, lebih banyak seseorang itu mengetahui mengenai hepatitis, maka lebih baik kerana boleh mencegah pemindahan virus dari individu kepada individu lain secara tidak disedari.

Hepatitis A dijangkiti melalui pencemaran makanan dan air, manakala hepatitis B dan C dijangkiti melalui pemindahan darah, air mani atau cecair daripada tubuh seperti air liur dan susu ibu. Bagaimanapun, hepatitis B dan C dijangkiti melalui sentuhan apabila tersentuh dengan darah dijangkiti atau peralatan seperti jarum, pemindahan darah atau perkongsian barang peribadi.

GEJALA

Dr. Pang berkata, kebanyakan penghidap hepatitis tidak mengalami sebarang simptom.

“Penyakit ini dikira sudah berada pada tahap lewat apabila penghidap mengalami jaundis (kekuningan), sakit abdomen seperti kembung perut, kaki bengkak, kehilangan berat badan dan sebagainya.

“Oleh kerana tiada penawar menyembuhkan hepatitis B, kebanyakan orang boleh menjangkakan hayat lebih lama dengan menjalani ujian dan rawatan bagi menguruskan virus serta mencegah kerosakan hati,” katanya.

Bagaimanapun, Dr. Pang berkata, individu yang menghidap hepatits B umpama tinggal harmoni dengan jiran sekeliling tetapi anda tidak tahu apabila suatu hari, jiran anda menjadi huru-hara.

Pemeriksaan secara tetap dengan melakukan ujian kesihatan terutama memantau darah sangat penting untuk mengesan kelainan pada darah seseorang yang dijangkiti virus hepatitis ini.

“Sekiranya kita boleh melawan hepatitis B dalam generasi sekarang, kita mampu mencegah penyakit ini menjelang tahun 2030. Namun agak menyedihkan, kita masih jauh dalam mencapai matlamat ini.

“Lebih banyak usaha perlu dijalankan untuk meningkatkan kesedaran mengenai jangkitan hepatitis B. Memahami kaedah pencegahan dan kepentingan imunisasi dapat mengelakkan daripada merebak,” katanya.

SUNTIKAN IMUNISASI

Katanya, dengan kehadiran ubat antivirus yang bertindak secara langsung (DAAs), mampu memberikan harapan dalam menyem­buhkan penya­kit jangkitan hepatitis C dengan kadar 97 peratus.

“Vaksin sangat berkesan tetapi tiada jaminan memberikan perlindungan sepenuhnya. Kebanyakan individu dengan hepatitis B tidak sedar keadaan kesihatan mereka dan terlepas daripada pengesanan.

“Ini meningkatkan risiko jangkitan virus hepatits daripada ibu kepada anak melalui penyusuan. Pemeriksaan darah secara rutin ketika hamil boleh membantu mengesan jangkitan,” katanya.

Dr. Pang berkata, pengesanan awal membolehkan pengurusan lebih baik di mana ibu hamil mungkin diberikan antiviral dan bayi baru lahir diberikan suntikan immunoglobulin (HBIG). Suntikan ini memberikan perlindungan sementara bagi melawan jangkitan hepatitis B sehingga sistem imun bayi mampu membina ketahanan sendiri melalui imunisasi.

Tanda-tanda hepatitis:
Punca lain hepatitis:
Boleh berpunca daripada keturunan seperti sistik fibrosis atau hemokromatosis yang berlaku akibat terlebih zat besi dalam tubuh.
Hepatitis juga boleh berlaku disebabkan penyakit Wilson di mana tubuh menyimpan terlalu banyak tembaga.
Rawatan:
Terdapat pelbagai jenis rawatan bergantung kepada punca penyakit hepatitis.

Cara mencegah:
Elakkan berkongsi barangan peribadi seperti pencukur atau berus gigi
Jangan kongsi jarum atau peralatan lain
Elakkan membuat tatu
Kerap basuh tangan selepas menggunakan tandas atau tersentuh darah atau cecair penghidap.
Elakkan makanan dan minuman yang disediakan dalam keadaan kotor.

Dr. Pang mencadangkan individu yang menghidap hepatitis B untuk berjumpa doktor setahun sekali bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan menjalani ujian darah secara rutin untuk memantau jangkitan.

“Mereka yang berusia 40 tahun ke atas yang mempunyai gejala perlu berjumpa doktor lebih kerap atau berjadual iaitu setiap enam bulan sekali dan melalui pemantauan kanser hati,” katanya.

Beliau juga menasihatkan supaya mengelakkan daripada berkongsi jarum dan peralatan penjagaan kesihatan lain semasa menjalankan prosedur seperti akupuntur atau melakukan tatu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya