KITA biasa melihat seseorang yang diserang strok, mulut dan muka pesakit akan menjadi herot dan sukar bertutur seperti biasa atau tidak boleh bertutur langsung.
Ini berlaku kerana serangan strok mengakibatkan gangguan pengaliran darah di bahagian otak yang bertanggungjawab mengawal pergerakan serta sensori oral iaitu lidah, mulut, bibir, pipi dan rahang. Justeru, apabila seseorang mengalami strok, mereka akan mempunyai kesukaran untuk menggerakkan dan merasa bahagian kiri atau kanan otot muka termasuk bahagian di sekitar muka dan mulut.
Pegawai Pemulihan Perubatan Pertuturan Unit Terapi Pertuturan-Bahasa Jabatan Perubatan Rehabilitasi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia, Behiswari Sakthi Raja berkata, apabila strok berlaku pengaliran darah ke sebahagian otak akan terputus, menyebabkan kerosakan atau kematian sel otak di bahagian terbabit.
“Apabila bahagian otak yang terjejas itu membabitkan kawalan pergerakan dan sensori pada bahagian mulut serta muka, maka pergerakan dan sensori di bahagian terbabit akan terjejas.
“Otak yang mengawal kebanyakan fungsi bahagian muka dan mulut adalah Brain Stem. Strok boleh mengakibatkan kelemahan atau lumpuh pada muka dan menyukarkan aktiviti mengunyah, menelan serta bertutur,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambahnya, kelemahan atau kelumpuhan otot di mulut akan menyebabkan kesukaran bertutur atau dikenali sebagai Dysarthria. Ia juga mengkoordinasikan pergerakan mulut yang diperlukan untuk pertuturan dikenali sebagai Apraxia of Speech, mengunyah makanan dan menelan.
Kaedah mencegah strok:
Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang
Lakukan aktiviti harian yang sihat seperti bersenam, berkebun dan bersukan.
Berhenti merokok
Kawal tekanan darah tinggi dan kencing manis
Kawal stress dan emosi.
Jika mempunyai darah tinggi atau kencing manis dinasihatkan untuk makan ubat yang ditetapkan oleh doktor anda.
Pada masa sama, ini akan menyebabkan kehilangan sensori di bahagian mulut di mana pesakit strok akan mengalami masalah untuk membezakan keberatan, struktur dan suhu makanan atau minuman yang akan melambatkan proses menelan mereka.
Mungkin anda pernah mendengar mengenai BEFAST iaitu simptom yang menunjukkan seseorang itu mengalami serangan strok.
Ia adalah singkatan kepada kehilangan keseimbangan badan (B), penglihatan mata berbeza, (E), muka sebelah lemah atau senget (F), anggota badan sebelah lemah (A),kesukaran bercakap (S) dan masa (T)anda harus menelefon ambulans.
“Semua ini adalah petanda seseorang mengalami strok. Antara salah satu simptom yang kebanyakan pesakit strok alami adalah kelemahan anggota muka di sebelah sahaja menyebabkan kesukaran untuk bercakap atau sukar difahami.
“Pada masa kejadian, biasanya pesakit sedar akan kehilangan keupayaan bertutur atau kelemahan bahagian anggota muka pada sebelah sahaja. Namun, bukan semua pesakit strok gagal bertutur seperti biasa,” katanya.
Bagaimanapun, katanya sesetengah pesakit strok berkemungkinan boleh bertutur seperti biasa selepas beberapa jam atau beberapa hari mengalami serangan strok berbanding sesetengah pesakit yang tidak boleh bertutur.
Sesetengah pesakit pula, berkemungkinan tidak mampu bertutur seperti biasa. Ini kerana keupayaan bertutur seperti biasa bergantung kepada jenis strok di bahagian otak.
Peluang untuk pesakit bertutur seperti biasa juga bergantung kepada kepantasan rawatan pemulihan yang mereka terima di hospital.
Pemulihan selepas strok
Perkara penting yang perlu diketahui adalah kadar pemulihan akan lebih cepat apabila pesakit strok mendapat rawatan awal sejurus selepas strok berbanding pesakit yang lewat menerima rawatan strok.
Selepas serangan strok, biasanya doktor akan merujuk pesakit kepada keperluan rehabilitasi tertentu, bergantung kelemahan atau kesukaran yang dialami pesakit selepas strok.
Rawatan awal untuk mengembalikan fungsi yang optimum adalah dengan menjalankan intervensi rehabilitasi selama tiga hingga enam bulan untuk membolehkan pesakit pulih sepenuhnya daripada strok.
Kajian oleh American Stroke Association menunjukkan pemulihan paling cepat biasanya berlaku dalam tiga hingga empat bulan di mana rehabilitasi memainkan peranan.
Behiswari berkata, terdapat tiga jenis masalah membabitkan pertuturan selepas seseorang mendapat strok iaitu Dysarthria, tidak dapat bertutur disebabkan kelemahan otot muka, Apraxia of speech, mempunyai masalah koordinasi antara otak ke mulut dan Afasia iaitu gangguan otak dari segi kefahaman dan ekspresi.
“Apabila seseorang pesakit tidak boleh bertutur disebabkan kelemahan otot atau Dysarthria, maka ahli terapi pertuturan akan memberi latihan otot muka untuk mengembalikan fungsi lidah, pipi, bibir dan rahang bagi mencapai fungsi optimum membolehkan bertutur seperti biasa.
“Jika tidak boleh bertutur disebabkan oleh apraxia of speech atau afasia maka latihan lain akan diberikan oleh ahli terapi pertuturan untuk mengkoordinasikan semula antara otak dan mulut serta latihan kefahaman untuk Afasia,” katanya.
Peluang untuk pesakit kembali bertutur seperti biasa adalah sangat bergantung kepada jenis strok dan rawatan rehabilitasi awal.
Memulihkan keupayaan menelan
Serangan strok berisiko menyebabkan kira-kira 90 peratus pesakit mengalami kesukaran menelan makanan di mana keupayaan menelan adalah satu pergerakan motor yang dikawal oleh otak.
Behiswari berkata, ahli terapi pertuturan akan menjalankan ujian menelan dan menentukan tahap keterukan pesakit untuk melakukan aktiviti berkenaan.
“Pengubahsuaian struktur makanan yang dikenali sebagai diet disfagia akan dilakukan untuk membantu pesakit menelan makan, termasuk strategi pengubahsuaian posisi sewaktu menelan,” katanya.
Tambahnya, sesetengah pesakit strok tidak sedar sepenuhnya selepas serangan strok.
Justeru, pasukan perubatan akan menggunakan tiub pemakanan sementara waktu yang dimasukkan melalui hidung hingga ke perut untuk memberikan nutrisi dalam bentuk susu.
Pada waktu sama, strategi menelan yang selamat juga membantu pesakit mendapatkan pemakanan seimbang selain mengelakkan berlakunya radang paru-paru di mana makanan boleh masuk ke dalam salur pernafasan sekiranya strategi penelanan yang selamat tidak diaplikasikan.- UTUSAN