KUALA LUMPUR: Pelakon, Diana Danielle, 34, mengakui lebih tenang apabila status hubungannya dengan suami Farid Kamil kini sudah jelas selepas perjuangannya menuntut perceraian akhirnya ternoktah.
Menurut Diana, perkara itu dianggap dapat memudahkan dirinya sebagai wanita untuk menguruskan kehidupan termasuk membabitkan urusan dua anak mereka iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya keadaan menjadi lebih mudah. Farid pun boleh membawa anak-anak balik kampung untuk beraya.
“Bila status sudah jelas, ia sebenarnya menyenangkan keadaan bagi saya sebagai seorang wanita.
“Saya nak berterima kasih kepada Farid kerana memberikan persetujuan (melafazkan perceraian) ini,” katanya.
Diana berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Selain itu, pelakon filem Imajinur itu berkata, pihaknya juga tiada halangan untuk Farid bertemu dengan anak-anak pada bila-bila masa mengikut kesesuaian waktu.
“Alhamdulillah, anak-anak setakat ini mereka tidak menunjukkan apa-apa keadaan yang membimbangkan.
“Tiada sekatan dalam perhubungan, baik dari segi talian mahupun perjumpaan. Bila-bila masa saja boleh bertemu. Semoga hubungan ini terus erat demi anak-anak,”katanya.
Terdahulu, konflik rumah tangga antara Farid dan Diana akhirnya menemui titik noktah apabila pasangan selebriti popular itu disahkan telah bercerai talak satu semalam.-UTUSAN.