Program Inkubator Pengarah Amatur FDAM 2024 mampu lahirkan pengarah muda berkualiti. - Utusan Malaysia

Program Inkubator Pengarah Amatur FDAM 2024 mampu lahirkan pengarah muda berkualiti.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai usaha melahirkan lebih ramai pengarah muda yang berkualiti, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) akan menganjurkan Program Inkubator Pengarah Amatur FDAM 2024.

Menyasarkan penglibatan ahli-ahli FDAM yang merupakan pengarah amatur, program ini juga akan dijalankan di d Studio Ho Ah Loke, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bermula 12 hingga 18 Oktober 2024 ini.

Selain diberikan latihan dan bimbingan, calon dan peserta yang terpilih juga turut menerima bimbingan intensif daripada pengarah-pengarah filem berpengalaman yang turut berkongsi pengetahuan mereka tentang teknik pengarahan, pengurusan set, serta pembikinan filem yang berkualiti tinggi.

Menurut Presiden FDAM, Datuk Afdlin Shauki, menerusi program ini juga peserta akan melaksanakan projek mini yang boleh dimasukkan dalam portfolio mereka, serta mendapat maklum balas langsung daripada tenaga pengajar.

“Kami di FDAM percaya bahawa setiap pengarah muda memiliki idea dan potensi besar, namun ia perlulah dicungkil dan diasah. Jadi program ini merupakan platform terbaik dalam membantu merealisasikan impian mereka,”

“Melalui bimbingan daripada pengarah-pengarah berpengalaman, kami berharap dapat mempersiapkan peserta dengan ilmu, teknik, dan keyakinan yang diperlukan untuk berjaya dalam industri perfileman,”katanya.

Melihat ini sebagai wadah untuk melahirkan lebih ramai pengarah muda yang mampu membawa industri perfileman negara ke fasa berbeza, menurut Afdlin ini juga merupakan sebahagian cara pihaknya memberikan tunjuk ajar dan sokongan.

“ Ini bukan sekadar tentang belajar teknik pengarahan, tetapi lebih kepada membina semangat, disiplin, dan kesediaan untuk meneroka kreativiti tanpa batas. Saya percaya, dengan dedikasi dan komitmen yang diberikan, pengarah-pengarah muda yang menyertai program ini akan mampu mengubah industri filem tempatan dan membawa perspektif baharu ke layar perak.
“Masa depan perfileman Malaysia berada di tangan mereka, dan kami di FDAM bersedia untuk membimbing dan menyokong perjalanan mereka.” tambahnya.

Sementara itu selain bimbingan teknikal, program ini juga turut memberi peluang kepada peserta untuk membina jaringan dalam industri, termasuk bertemu dan berkongsi idea dengan pengarah dan penerbit yang berpengaruh. Ini sekaligus akan membuka peluang untuk mereka berkolaborasi di masa hadapan serta dapat menerokai peluang yang lebih cerah dalam industri perfileman pada waktu akan datang.

FDAM mengalu-alukan ahli-ahli pengarah amatur FDAM untuk menyertai bengkel ini dan memanfaatkan peluang eksklusif ini. Pendaftaran kini dibuka dan tempat adalah terhad untuk 30 individu sahaja.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan proses pendaftaran, boleh menghubungi Sekretariat FDAM di [email protected] atau di talian +6011-1896 .

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya