Lahirnya ‘99’, Fugo lancar siri jelajah - Utusan Malaysia

Lahirnya ‘99’, Fugo lancar siri jelajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih empat tahun kumpulan Fugo mencipta nama dalam industri muzik tanah air, Karya hebat mereka sentiasa mendapat perhatian peminat memandangkan genre yang diketengahkan mempunyai kelainan serta keaslian terutamanya dari sudut arrangement dan idea.

Sebagai kumpulan yang berkonsepkan alternatif indie, meletakkan keunikan melalui adunan getaran elektro vintaj moden sebagai ‘originality’ merupakan nafas baharu dan pembaharuan, sekaligus memberikan perbezaan terhadap kumpulan sedia ada.

Dianggotai oleh tiga anak muda iaitu Hakim Kamal (vokal/gitar), Kayrol Ami (bass) dan juga Fai (keyboard), mereka mengambil pengaruh dari elemen muzik pop lewat tahun 70-an, 80-an, iaitu funk, rock moden dan muzik new wave dalam mempromosikan karya mereka.

Sekian lama melakukan eksperimentasi  , Fugo akhirnya berjaya melancarkan album yang berjudul ‘99’ sebagai penanda aras kehadiran mereka dalam industri hari ini.

“Alhamdulillah setelah berhempas pulas dan memerah idea, akhirnya kami bersyukur kerana album ‘99’ berjaya menemui peminat. Album ini bukan sahaja sebagai penanda aras buat kami, malah membuktikan kami serius untuk berjuang dalam industri.

“Sebelum ini kami banyak menghasilkan single dan EP sahaja. Tetapi dengan lahirnya album ‘99’, ia seakan menjadi saksi hasil kerja keras yang telah dilakukan. Banyak perkara baharu yang dipelajari dan kerana itulah kami mahu peminat dengar keseluruhan album ini,” kata Hakim memulakan bicara.

Menelusuri perjalan seni Fugo, mereka memulakan langkah dengan menghasilkan lagu Waiting pada Februari 2020 sebelum menghasilkan tujuh buah single dan sebuah EP berjudul Fugo yang dilancarkan pada April 2021.

Melihatkan sambutan hangat dan maklum balas positif yang diberikan peminat, Fugo memberanikan diri menghasilkan album penuh dan meneroka lagu melalui lirik melayu yang berlainan dari kebiasaan.

“Sebenarnya lagu yang kami hasilkan sebelum ini banyak menggunakan bahasa Inggeris. Tapi untuk ‘99’, kami mencari sisi lain dengan menggunakan lirik bahasa Melayu sebagai tunjang utama kepada sembilan karya sebelum ini.

“Paling menarik apabila lagu ‘99’ dan Pentas Sandiwara diterima baik peminat. Itu yang membuatkan kami yakin berada di landasan yang tepat. Setidaknya berjaya menarik peminat baru untuk mengenali Fugo,” tambah Hakim lagi.

Bercerita mengenai proses pembikinan album, beberapa peringkat tapisan terpaksa dilalui, termasuklah melukis landskap sonik yang berwarna-warni. Proses tersebut penting untuk mencipta melodi yang ceria dan bersemangat hingga ke balada yang menyentuh perasaan dan jiwa.

Fugo yang cenderung menggabungkan elemen muzik nostalgia dan kontemporari sering mencipta daya tarik yang berjaya menambat hati pendengar dari semua peringkat umur dan latar belakang.

Sebagai rekod, album ‘99’ dilancarkan secara rasmi pada 9 Ogos lalu dan serentak dengan itu Fugo akan memulakan siri jelajah di seluruh negara meliputi empat negeri utama bagi mempromosikan album ini.

Jelajah akan bermula pada 17 Ogos di Kedah, 18 Ogos (Perak), 24 Ogos (Johor), 1 September (Pahang) sebelum menutup persembahan kemuncak mereka di Kuala Lumpur pada 7 September nanti.

Peminat akan berpeluang mendengar album ‘99’ secara persembahan langsung dan boleh juga mendapatkan pelbagai cenderahati eksklusif di kesemua lokasi jelajah.

Album ‘99’ oleh Fugo kini tersedia di kesemua platform penstriman digital dan tiket untuk siri jelajah ‘99’ Tour boleh diperoleh melalui  https://www.ecrice.my/products/fugo-99-tour-2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya