Lama juga saya berbual dengan penyanyi Kumpulan Belantara, Mohamed Zaid Yusoff, 58, atau lebih dikenali dengan panggilan Zaid selepas usai majlis sidang medianya yang bertempat di Kona Mokapot Coffee, Universiti Malaya selasa lalu. Banyak yang dikongsikan terutama penglibatannya dalam industri muzik tanah air setelah hampir empat dekad mencipta legasi memperjuangkan sebuah kumpulan yang diwarisinya sejak pertengahan era 80-an.
Kumpulan yang dianggotai oleh empat orang anak muda yang ketika itu masih lagi menuntut di institut pengajian tinggi di Amerika Syarikat berjaya mencetuskan fenomena tersendiri apabila melahirkan album pertama pada tahun 1987, berjudul Belantara yang dikategorikan sebagai unik dan punya identiti tersendiri.
Meletakkan rock progresif sebagai genre, Kumpulan ini juga dipengaruhi daripada band luar negara seperti Rush, Led Zeppelin, Queensryche dan The Police.
Belantara yang ketika itu dianggotai oleh, Zaid (vocal), Aziz (gitar) dan Shukri (bass) berjaya mendapat kepercayaan syarikat rakaman Polygram setelah demo yang dihantar menepati piawaian dan kriteria yang diinginkan.
Menurut Zaid, mereka yang ketika itu masih menuntut di AS terpaksa berulang alik ke Singapura pada cuti pengajian untuk melakukan proses rakaman dan suntingan.
Tdak menobatkan nilai glamour sebagai sandaran, Belantara kekal dengan imej pelajar yang meletakkan pendidikan sebagai teras kehidupan menjadikan promosi dan publisiti album diserahkan sepenuhnya kepada syarikat rakaman untuk disampaikan kepada peminat tanah air.
Kewujudan pelbagai kumpulan rock ibarat cendawan selepas hujan di era tersebut sedikit sebanyak menenggelamkan nama Belantara. Entah di mana silapnya, kumpulan yang dilihat mampu bersaing dengan sebaris nama besar ketika itu seakan tidak diingati, malah kewujudannya tidak dirasai.
Walau tidak diraikan di tanah air sendiri, Belantara tetap mengukir nama dan menjadi inspirasi berharga buat pelajar-pelajar Malaysia yang berada di luar negara. Mereka mengangkat tinggi keberadaan kumpulan ini yang seakan mewakili suara hati mereka yang ketika itu berada di rantau orang.
Kini, walau sudah pulang ke tanah air, Belantara masih aktif dan kekal dengan perjuangan mereka. Bertitik tolak dengan kejayaan showcase pada tahun 2020. Belantara sekali lagi mengambil peluang untuk bertemu peminat dengan menganjurkan ‘Belantara Showcase Volume 2.0’ bertempat di Stage One, PJ Performing Arts Centre, Petaling Jaya pada jam 8.30 malam, 7 Disember ini.
“Seperti ‘showcase’ terdahulu, persembahan kami sekali lagi dianjurkan oleh ‘true fans’ yang sentiasa menyokong perjuangan kami selama ini. Mereka adalah peminat yang berkongsi dan mentafsir karya kami berdasarkan apa yang diperjuangkan selama ini.”
“Bukan sekadar meraikan peminat tetapi ini juga merupakan sesi reunion buat rakan-rakan sezaman yang sama-sama menuntut di luar negara dahulu. Itu antara sebab kenapa kami memilih lokasi ini kerana tempatnya lebih cool dan santai, maklumlah yang hadir pastinya telah berusia takkanlah nak suruh berdiri dan bersesak-sesak,” ujarnya tertawa.
Menurut Zaid lagi, sehingga ke hari ini mereka giat berlatih termasuk menjaga stamina untuk memberikan persembahan terbaik malah dia sendiri menjangkakan akan menyampaikan 18 buah lagu pada hari persembahan.
“Apa yang menariknya kesemua lagu yang dimainkan adalah ciptaan kami sendiri. dan persembahan ini pastinya akan mengimbau nostalgia terutamanya ketika era kewujudan Belantara pada satu ketika dahulu,”
“Alhamdulillah, setakat ini jualan tiket amat memberangsangkan Walaupun kapasiti hanya terhad sekitar 450 penonton Sahaja, tetapi itu sudah memadai buat peminat tegar kami, dan jualan tiket juga masih kami buka dan peminat boleh dapatkan informasi menerusi Facebook rasmi Belantara,” katanya.
Belantara pernah memiliki tiga album bersama syarikat rakaman Polygram iaitu Belantara pada 1987, Srikandi Di Sisi (1988) dan Infiniti (1990).
Antara lagu popular mereka ialah Srikandi Di Sisi, Dewi, Panglima Angkasa, Airmata, Lautan Cahaya, Sutra, Menari Di Dalam Hujan dan Jebat.