PETALING JAYA: Memilih untuk bergerak sendiri, Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, menyatakan masih banyak yang perlu dipelajarinya untuk kekal relevan di dalam industri.
Selain berusaha untuk mencari cabang lain yang boleh diterokai, dia mahu ‘merangkak’ semula dalam menguruskan kariernya sebagai seorang penyanyi.
“Bila saya dah mula bergerak secara sendirian berhad ni, saya kena tahu selok belok industri, apa yang saya boleh buat. Sebab dalam industri seni ni besar, jadi saya nak lihat apa lagi yang diri saya ni boleh buat selain daripada menyanyi.”
Hafiz memberitahu kepada media ketika ditemui pada pelancaran single terbaharunya, ‘Terus Bersinar’ di Setia Walk, Puchong semalam.
Ujarnya, dia mengambil masa yang lama untuk kembali dengan single terbaru agar produk yang dihasilkan adalah berkualiti untuk dihadiahkan kepada peminat.
“Saya taknak keluarkan lagu yang ‘alang-alang’. Biarlah lagu itu kita dah ‘study’ betul-betul dan penuhi kriteria barulah sajikan kepada peminat.”
Menganggap setiap penyanyi mempunyai strategi tersendiri, penyanyi lagu Awan Nano itu menetapkan formula iaitu mengambil masa dua ke tiga tahun untuk mengeluarkan sesuatu karya.
“Macam penyanyi baru yang kerap mengeluarkan lagu, Allah dah kurniakan idea kepada mereka. Sebab tu diorang boleh sentiasa keluarkan karya,”
Dalam pada itu, terpalit dengan isu ‘rambut hijau’, anak kelahiran Sarawak ini mengakui gimik merupakan cara terpantas untuk mempromosikan lagu, namun dia tetap memohon maaf andai tindakannya dianggap keterlaluan.
“Saya sedar apa yang saya buat. Cuma tujuan saya hanyalah untuk meraih perhatian daripada orang ramai. Zaman sekarang memang dah jadi lumrah. Benda sensasi, ada publisiti, baru dapat perhatian.”
“Dan saya pun ingin meminta maaf kepada netizen dan semua rakyat Malaysia, memang saya akui tindakan saya adalah tidak betul,” ujarnya mengakhiri perbualan.