KUALA LUMPUR : Pelakon, Nelissa Nizam, 25, mendedahkan, dia pernah mengalami kejadian gangguan seksual sewaktu mula menceburi bidang seni hiburan.
Menurut Nelisa, pengalaman buruk itu sehingga kini menghantui fikirannya selain percaya, dia bukan satu-satunya mangsa yang pernah mengalami situasi seperti itu.
“Kejadian berlaku di dalam kereta waktu rehat. Ada seorang individu (enggan tidak dinyatakan sama ada pelakon atau kru) menarik saya dan cuba lakukan sesuatu.
“Selepas kejadian itu, saya trauma untuk berada di set. Baca skrip pun menggigil. Saya pendam sahaja sendiri sebab waktu itu saya masih mentah dan individu tersebut orang yang berkuasa,”katanya.
Nelisa berkongsi mengenai perkara itu bagi mengulas mengenai isu yang dikupas oleh Utusan Malaysia mengenai gangguan seksual yang berlaku dalam industri seni tempatan sekali gus menyaksikan terdapat sisi gelap di set penggambaran di sebalik gemerlapan dunia glamor.