KUALA LUMPUR : Pengasas konsert Malam Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, meluahkan rasa terharu apabila menerima lambakan pujian mengenai penganjuran konsert tersebut yang disifatkan berjaya dengan jualan tiket berbaloi ‘harga rahmah’.
Menurut Azzim, dia gembira apabila mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat muzik tanah air yang berpuas hati dengan penganjuran konsert berkonsep kerohanian tersebut.
“Ada orang kata Konsert Malam Bulan Bintang semalam ‘harga rahmah, saji pengalaman mewah. Mungkin betul lah. Ini memang ceritanya kita buat konsert untuk kepuasan sendiri, bukan fikir nak buat duit semata. Harap semua yang datang pun gembira.
“Terus-terang, saya pun berpuas hati dapat buat pentas dan sistem bunyi mengikut kemahuan sendiri. Pentas 360 darjah itu adalah idaman saya,”katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Tambah Azzim, dia mewakili generasi muda dan sangat komited untuk melakukan yang terbaik dari segenap aspek.
“Saya paling risau bila ramai yang jumpa kelmarin dan cakap konsert Malam Bulan Bintang ini sangat mengagumkan sehingga ada yang minta kami buat lagi untuk tahun-tahun hadapan.
“Bukan apa, risau mereka ini lupa saja yang kami ini syarikat jual baju Melayu. Tetapi bagus juga kerana respons yang diterima itu memberi signal Bulan Bintang merupakan sebuah syarikat anak muda yang sentiasa mencari benda baru yang segar, tak pernah orang buat dan tahu keinginan anak muda yang lain.
“Jika dipandang secara menyeluruh, ia juga satu simbol bahawa kami komited untuk lakukan yang terbaik dalam setiap benda yang kami buat. Bukan terhad kepada hanya acara tetapi juga kualiti barangan, khidmat jualan dan pengalaman pengguna,”katanya.
Terdahulu, konsert yang dianjurkan oleh Bulan Bintang dan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu telah dibanjiri seramai 8,000 penonton dan tular di media sosial.
Selain persembahan memukau barisan penyanyi tempatan dan antarabangsa seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Faizal Tahir, Opick, Sabyan, Alif Satar & The Locos, Raihan dan Salammusik, pentas 360 darjah turut mendapat perhatian ramai.
Penonton yang hadir juga memuji elemen kerohanian seperti alunan selawat serta tazkirah ringkas yang disampaikan oleh pengacara Amin Idris dalam konsert terbabit.
Sebelum ini, Azzim meluahkan keyakinan bahawa dia tidak gentar merealisasikan Konsert Malam Bulan Bintang meskipun berlaku pertembungan tarikh dan lokasi konsert dengan kumpulan K-pop terkenal dunia, Blackpink World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Kami menerima banyak reaksi daripada peminat Bulan Bintang, penyanyi yang membuat persembahan dan peminat Blackpink ketika kami mengumumkan tarikh dan lokasi konsert yang jatuh pada hari serta tempat yang sama.
“Mereka sudah melakukan perbincangan awal dengan beberapa pihak untuk memastikan perjalanan konsert mega yang menampilkan lapan artis terkenal tanah air termasuk antarabangsa itu berjalan lancar dan terkawal,” katanya.