DI sebuah kemudahan penyelidikan di barat laut Beijing, China Ahli Biologi Molekul, Li Jieping dan pasukannya menuai tujuh biji kentang yang luar biasa kecil, satu daripadanya hanya sebesar telur puyuh yang dipetik dari tumbuhan pasu.
Ditanam dalam keadaan simulasi seperti ramalan suhu yang lebih tinggi pada akhir abad ini, bekalan kentang kini memberikan petanda keselamatan makanan masa depan yang tidak baik.
Pada hanya 136 gram, ubi kentang mempunyai berat kurang daripada separuh saiz kentang biasa di China, di mana jenis yang paling popular selalunya dua kali ganda saiz bola besbol.
China adalah pengeluar kentang terbesar di dunia dan sumber terpenting untuk keselamatan makanan global kerana hasilnya yang tinggi berbanding tanaman ruji lain.
Tetapi tumbuhan ini sangat terdedah kepada haba dan perubahan iklim, malah suhu tinggi mencapai tahap baharu berbahaya, masalah kemarau serta bencana banjir yang semakin kerap berlaku kini dikhuatiri memburukkan lagi masalah kekurangan bekalan dan saiz kentang.
Dengan keperluan mendesak untuk melindungi bekalan makanan, penyelidik di Pusat Kentang Antarabangsa (CIP) di Beijing, mengetuai kajian tiga tahun ke atas kesan suhu tinggi pada sayuran dengan memberi tumpuan kepada dua jenis yang paling biasa ditanam di China.
“Saya bimbang tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Petani akan menuai lebih sedikit ubi kentang, ia akan mempengaruhi keselamatan makanan dunia,” kata Jieping.
Pasukan Jieping menanam tanaman mereka selama tiga bulan dalam bilik khas yang ditetapkan pada 3 darjah Celsius melebihi suhu purata semasa di utara Hebei dan Inner Mongolia, wilayah altitud lebih tinggi di mana kentang biasanya ditanam di China.
Penyelidikan mereka yang diterbitkan dalam jurnal Climate Smart Agriculture mendapati, suhu yang lebih tinggi mempercepatkan pertumbuhan jenis tanaman ubi sebanyak 10 hari, tetapi mengurangkan hasil kentang lebih daripada separuh.
Di bawah dasar iklim semasa, dunia menghadapi pemanasan sebanyak 3.1 darjah Celsius melebihi paras pra-industri menjelang 2100, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada bulan Oktober.
Di Inner Mongolia, berpuluh-puluh pekerja yang menggenggam guni putih bergegas mengumpul kentang yang digali dari tanah sebelum hujan lebat seterusnya.
“Cabaran terbesar untuk kentang tahun ini adalah hujan lebat. Ia telah menyebabkan pelbagai penyakit dan sangat melambatkan kemajuan penuaian,” kata pengurus ladang, Wang Shiyi.
Sementara itu, pengeluar benih kentang, Yakeshi Senfeng Potato Industry Company telah melabur dalam sistem aeroponik di mana tumbuhan ditanam di udara dalam keadaan terkawal.
“Petani semakin menuntut varieti kentang yang lebih tinggi hasil dan kurang terdedah kepada penyakit, terutamanya masalah hawar yang menyebabkan Kebuluran Kentang Ireland pada pertengahan abad ke-19 dan tumbuh subur dalam keadaan panas dan lembap.
“Ini kerana beberapa strain baharu hawar yang lebih agresif mula muncul dan ia lebih tahan terhadap kaedah pencegahan dan kawalan tradisional pertanian,” kata Pengurus Besar syarikat itu, Li Xuemin yang berpangkalan di Inner Mongolia.
Penyelidikan oleh CIP yang beribu pejabat di Lima, adalah sebahagian daripada usaha kerjasama dengan kerajaan China untuk membantu petani menyesuaikan diri dengan keadaan yang lebih panas dan lembap.
Di rumah hijau di luar makmal, pekerja menyapu debunga pada bunga kentang putih untuk mengembangkan varieti tahan panas.
Jieping berkata, petani China perlu membuat perubahan dalam dekad yang akan datang, menanam semasa musim bunga dan bukannya permulaan musim panas, atau berpindah ke altitud yang lebih tinggi untuk mengelakkan haba.
“Petani perlu mula bersedia untuk perubahan iklim. Jika kita tidak mencari penyelesaian segera sekarang, mereka bakal berdepan kekurangan pendapatan ekoran hasil yang lebih rendah, malah harga kentang mungkin meningkat,” katanya. – UTUSAN