MENAIKI jet untuk melancong atau membuat lawatan kerja dalam tempoh singkat kedengaran seperti mimpi yang dahulunya sukar untuk menjadi realiti, tetapi tidak di era ini kerana Stargazer dapat merealisasikannya
Sebuah syarikat aeroangkasa Texas bernama Venus Aerospace sedang mengusahakan pesawat jet dipanggil Stargazer bersama enjin yang akan menghidupkannya.
Stargazer bakal menjadi jet hipersonik yang boleh bergerak lebih daripada enam kali kelajuan bunyi dan mampu terbang lebih tinggi daripada pesawat lain.
Jika dibenarkan untuk perjalanan komersial, jet hipersonik itu akan membawa penumpang dari New York ke London dalam masa kurang sejam berbanding tujuh jam pada masa ini.
Jarak perjalanan antara dua bandar itu adalah hampir 5,632 kilometer (km).
Stargazer dijangka tiga kali lebih pantas daripada jet Concorde dan lima kali ganda lebih laju daripada pesawat NASA yang akan datang.
Jet tersebut dianggarkan menelan belanja AS$33 juta (RM141.4 juta) hingga AS$48 juta (RM205.6 juta).
Ia akan berlepas menggunakan enjin jet tradisional dan kemudian beralih kepada enjin VDR2 sebaik sahaja mencapai ketinggian yang sesuai.
VDR2 berjaya diuji dalam dron kecil awal tahun ini, dan kini syarikat itu sedang mengintai ujian dron kedua pada 2025.
Jet hipersonik itu bukan sahaja lebih laju, malah terbang pada ketinggian mencapai sehingga kira-kira 3.4km.
Sebagai perbandingan, jet Concorde mencapai kira-kira 1.82km dan ketinggian biasa jet penumpang adalah sekitar 10.8km.
Sebelum ini, jet Concorde adalah pesawat komersial terpantas di dunia, namun pesawat itu tidak lagi beroperasi sejak 2003.
Pada acara Up Summit di Bentonville, Arkansas minggu lepas, Venus Aerospace memperkenalkan enjin yang akan menggerakkan pesawat Stargazernya merentasi langit biru.
Pengasas bersama Venus Aerospace, Andrew Duggleby berkata, enjin itu bakal mencipta revolusi baharu dalam penerbangan berkelajuan tinggi.
“Enjin ini menjadikan ekonomi hipersonik satu realiti,” katanya yang mengasaskan syarikat itu pada 2020. – UTUSAN