Natta bangga warisi istana berusia 900 tahun - Utusan Malaysia

Natta bangga warisi istana berusia 900 tahun

LUDOVICA Sannzzaro Natta sering memuat naik video di media sosial tentang kehidupannya di istana. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA Ludovica Sannazzaro Natta memperkenalkan dirinya kepada kenalan baharu, pasti ramai teruja untuk mengetahui tentang tempat tinggalnya.
Pelajar jurusan teater dan muzikal berusia 21 tahun itu tinggal bersama keluarganya di sebuah istana lama berusia 900 tahun. Natta berpindah ke Istana Sannazzaro yang mempunyai 45 bilik dan sebuah menara ketika dia berumur empat tahun.
Natta berketurunan bangsawan Itali dengan kawasan istana zaman pertengahan yang terletak di kawasan luar bandar berhampiran Giarole itu sudah diwarisi nenek moyang serta kaum kerabat keluarganya selama 28 generasi.
Generasi sebelumnya hanya mengunjungi kawasan itu ketika percutian musim panas tetapi pada 2006, ibu bapa Natta memutuskan untuk berpindah dari Milan dan menjadikan istana tersebut sebagai tempat tinggal mereka.
“Istana ini sudah sebati dalam diri saya. Ia adalah rumah saya dan tempat saya akan menetap sepanjang hayat saya,” katanya kepada CNN Travel.
Natta mengakui masih mengingati keseronokan meneroka betapa banyak bilik di istananya yang turut dilengkapi ruang tamu luas, perpustakaan, ballroom, ruang makan, gereja kecil dan laluan rahsia.
“Ibu bapa saya menyedari bahawa di dalam istana, permainan sorok-sorok boleh bertahan lama. Saya hanya akan berlari mengelilingi istana.
“Ibu bapa saya kadang-kala masih gagal mencari saya kerana saya fikir ia sangat lucu untuk hanya bersembunyi di dalam almari,” tambahnya.
Wanita yang sedang melan­jutkan pelajaran di New York itu banyak meng­habiskan zaman kanak-kanak menerokai istana bersama rakan-rakannya.

“Ketika zaman kanak-kanak saya banyak menghabiskan masa yang panjang untuk mencipta cerita tentang puteri, ahli sihir dan kisah dongeng di tengah-tengah persekitaran yang sangat sesuai ini.
“Saya dibesarkan dengan kisah Harry Potter, Narnia dan semua perkara itu. Sudah tentu, tempat tinggal saya menjadi lokasi terbaik untuk mencipta semula atmosfera dan dunia fantasi,” tambahnya.
Natta mengakui sering mengkaji sejarah Istana Sannazaro dan meneliti salasilah keluarganya untuk memahami bagaimana istana itu dibina pada mulanya.Dia juga sering membantu ayahnya menyaring surat-surat lama milik nenek moyangnya malah turut ditugaskan menemani pasukan paranormal yang datang untuk menyiasat kejadian aneh yang kadang-kala menjengah di istana itu.
Menurut Natta, enam bilik tidur di istana itu kini tersedia untuk disewa oleh pelancong manakala beberapa lagi ruangan luas boleh ditempah untuk penganjuran majlis perkahwinan atau acara besar lain. Kisah keunikan Istana Sannazzaro turut dimuat naik dalam media sosial Natta dan wanita itu merancang untuk menganjurkan satu acara besar-besaran bertemakan sejarah Itali menjelang tahun 2025 di lokasi tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya