KUMPULAN hak asasi pembela British Global Witness menyifatkan Colombia sebagai negara paling berbahaya bagi aktivis alam sekitar sepanjang tahun 2022. Ini berikutan pembunuhan sekurang-kurangnya 60 pembela hak alam sekitar dan tanah di negara itu.
Penasihat Kanan Kempen Pembela Tanah dan Alam Sekitar Global Witness, Laura Furones berkata, sekurang-kurangnya 177 pencinta alam sekitar terbunuh di seluruh dunia tahun lalu.
Namun Colombia menyaksikan 88 peratus daripada serangan maut itu.
“Di Colombia dan lokasi lain, Orang Asli, komuniti keturunan Afro, petani berskala kecil dan aktivis alam sekitar disasarkan dengan kejam,” katanya pada sidang akhbar secara maya.
Penemuan terbaharu itu mengembalikan Colombia ke senarai teratas negara paling berbahaya bagi pencinta alam sekitar selepas pembunuhan menurun pada 2021.
Aktivis alam sekitar Colombia, Nadia Umana mengakui kerap menerima ugutan kumpulan penjenayah.
Katanya, Colombia tersenarai sebagai negara paling berbahaya bagi aktivis akibat ribuan ancaman daripada pembalak dan pemburu haram.
Antara kes yang mendapat perhatian termasuk pembunuhan aktivis alam sekitar Colombia berusia 14 tahun, Breiner David Cucuname yang ditembak mati semasa rondaan di komuniti Orang Asli Las Delicias pada 14 Januari tahun lalu.
Sejak berkuasa pada Ogos tahun lalu, kerajaan Presiden berhaluan kiri, Gustavo Petro, berjanji untuk meningkatkan usaha menghentikan keganasan dan ugutan yang tidak berkesudahan terhadap aktivis alam sekitar.
Penemuan Global Witness itu dijangka mengecewakan pentadbiran Petro, yang meluluskan undang-undang mengesahkan perjanjian Escazu mengenai perlindungan alam sekitar pada Oktober tahun lalu.
Perjanjian itu sudah diterima pakai di wilayah Escazu di Costa Rica pada sejak Mac 2018.
Perjanjian tersebut melibatkan peruntukan untuk melindungi pencinta alam sekitar, tetapi undang-undang itu masih belum diluluskan oleh Mahkamah Perlembagaan Colombia.
Menteri Alam Sekitar, Susana Muhamad berkata, statistik itu amat memalukan.
“Justeru, ratifikasi perjanjian Escazu oleh Mahkamah Perlembagaan adalah asas di mana ia akan banyak menyokong kami dalam keperluan melindungi pembela alam sekitar.
“Bagaimanapun, tarikh akhir untuk Mahkamah Perlembagaan menganalisis undang-undang itu digantung, sementara ia menunggu untuk menerima bukti yang diminta pada Ogos lalu,” katanya.
Brazil dan Mexico masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga paling berbahaya bagi pencinta alam sekitar sepanjang tahun lalu, dengan sekurang-kurangnya 34 dan 31 pembunuhan dicatatkan di negara berkenaan.
Menurut Global Witness, dua negara yang bukan dari benua Amerika Latin namun termasuk dalam 10 senarai teratas adalah Filipina dan Indonesia. – Mingguan Malaysia
Colombia paling berbahaya bagi aktivis alam sekitar
- Oleh Susunan Nawwar Abdul Rahim
- 17 September 2023, 5:17 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am