Perubahan suhu bawah tanah ‘tenggelamkan’ bandar besar AS - Utusan Malaysia

Perubahan suhu bawah tanah ‘tenggelamkan’ bandar besar AS

BANDAR Chicago dijangka semakin mendap sekitar 8 milimeter menjelang 2051.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARA saintis mengeluarkan amaran tentang ‘bahaya senyap’ yang kini mengintai dari bawah tanah sehingga boleh menyebabkan bandar-bandar besar di Amerika Syarikat (AS) seperti Chicago dan New York semakin ‘tenggelam’.

Pasukan dari Northwestern University memanggil fenomena baharu itu sebagai ‘perubahan iklim bawah tanah,’ yang disebabkan oleh haba daripada struktur buatan manusia seperti terowong, garaj tempat letak kereta dan paip pembentungan.

Kenaikan suhu menyebabkan tanah membengkak, mengecut, tenggelam dan retak sekaligus boleh mengalihkan bangunan dari kedudukan asalnya.

Penyelidik yang membuat kajian di Chicago mendapati bandar itu mengalami pemanasan 5.6 darjah Fahrenheit sejak 1951 dan dijangka semakin mendap sekitar 8 milimeter dan mengembang sebanyak 12 milimeter menjelang 2051.

Saintis, Alessandro F. Rotta Loria dari Northwestern yang mengetuai kajian itu menegaskan, walaupun perubahan itu kelihatan sangat kecil, jumlah berkenaan sudah cukup untuk mengganggu infrastruktur dan operasi lain di permukaan bangunan.

Jelasnya, bandar dan perniagaan mungkin berdepan peningkatan isu operasi dan penyelenggaraan dari masa ke semasa, termasuk perubahan bentuk landasan kereta api bawah tanah atau masalah dinding bocor ekoran kehadiran air yang meresap masuk melalui rekahan pada asas bangunan.

Tambahnya, tanah berubah bentuk akibat variasi suhu, dan tiada struktur atau infrastruktur sivil sedia ada direka untuk menahan fenomena itu.

“Walaupun fenomena ini semestinya tidak berbahaya untuk keselamatan orang ramai, ia akan menjejaskan operasi harian biasa sistem asas dan infrastruktur awam secara amnya,” katanya.

Rotta Loria dan pasukannya memasang rangkaian tanpa wayar  lebih  150 sensor suhu merentasi Chicago Loop di atas dan di bawah tanah pada tahun 2022.

Alat sensor itu diletakkan di kesemua terowong , garaj tempat letak kereta dan jalan bawah tanah permukaan seperti Lower Wacker Drive untuk mengumpul data suhu di rantau berkenaan.

Selepas data dikumpulkan, penyelidik mendapati suhu bawah tanah di bawah Chicago Loop adalah 10 darjah lebih panas daripada suhu di bawah Grant Park.

“Suhu udara dalam struktur bawah tanah boleh meningkat sehingga 25 darjah lebih tinggi berbanding suhu tanah yang tidak terganggu.

“Apabila haba meresap ke tanah, ia memberikan tekanan yang ketara pada bahan yang mengembang dan mengecut dengan perubahan suhu,” jelasnya dipetik The Guardian.

Rotta Loria menggelar Chicago sebagai ‘makmal hidup,’ dan menegaskan bahawa perubahan iklim bawah tanah sebenarnya sudah berlaku di kebanyakan kawasan bandar di AS termasuk New York City.

“Peningkatan suhu bawah tanah yang sedang berlaku ini tidaklah sehingga boleh menyebabkan bangunan tiba-tiba runtuh.

“Namun suhu yang meningkat ini secara perlahan-lahan memberi kesan buruk kepada infrastruktur  dan sebenarnya banyak kes keretakan struktur asas bangunan sebelum ini yang kami tidak kaitkan dengan fenomena tersebut kerana kami tidak menyedarinya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya